Saturday, November 11, 2006

Mensyukuri Nikmat

Sebenarnya golongan yang berjaya ialah golongan yang tidak melupakan peringatan Allah. Allah berfirman dalam surah Taha ayat 124 yang bermaksud, “Sesiapa yang berpaling dari peringatanKu, maka sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit dan Kami akan menghimpunnya pada hari kiamat dalam keadaan buta.

Berhubung dengan ayat ini, sahabat Abdullah ibn Abbas berkata, 'Setiap orang yang menerima nikmat daripada Allah, banyak atau sedikitnya, hendaklah diterimanya dengan rasa takwa. Jika tidak dia tidak akan mengecap kebahagiaan dalam hidupnya dan akhirnya dia akan dilanda kesempitan'.Peringatan Allah seperti ini adalah berlian yang mampu menyinari seluruh hidup kita jika kita mahu menjadikannya sebagai iktibar.

Sayang sekali, berlian kurniaan Allah sedang dipinggirkan oleh umat Islam hari ini. Yang paling membimbangkan kita ialah ia turut dipinggirkan oleh generasi muda yang bakal memimpin negara. Sebagai contoh, mari kita lihat semula kepada keputusan PMR bagi tahun 1995. Keputusannya menampakkan peningkatan secara keseluruhannya. Namun pencapaian dalam mata pelajaran fardu ain agak menyedihkan. 6,779 pelajar telah gagal dalam mata pelajaran ini. 616 daripada mereka gagal dalam aspek yang berkaitan dengan ucapan dua kalimah syahadah, 1,553 gagal dalam aspek yang berkaitan dengan rukun Islam dan 1,901 pula gagal dalam aspek yang berkaitan dengan rukun iman.

Al-Quran yang merupakan wahyu Allah yang tidak ada tolok bandingannya juga tidak dihargai oleh sebahagian umat Islam hari ini. Pada bulan November 1995, menteri di Jabatan Perdana Menteri telah membuat kenyataan bahawa dianggarkan 200,000 penduduk Islam di Malaysia yang berumur antara 35 ke 45 tahun, tidak tahu sama sekali membaca Al-Quran.


Kita khuatir apabila kesemua ini berterusan nasib kita akan berubah daripada kegemilangan kepada kehinaan. Inilah yang diperingatkan Allah kepada kita melalui firmanNya dalam surah Al-Anfal ayat 53-54 yang bermaksud, “Hal ini kerana sesungguhnya Allah tidak akan mengubah sesuatu nikmat yang dianugerahkanNya kepada sesuatu kaum sehingga kaum itu mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. (Keadaan mereka samalah) seperti Firaun dan pengikut-pengikutnya serta orang-orang yang sebelum mereka. Mereka mendustakan ayat-ayat Tuhan maka Kami membinasakan mereka..”