Friday, July 28, 2006

Memahami Bahasa Zaman

Umat Islam hari ini perlu memanfaatkan kajian-kajian semasa untuk dikaitkan dengan konsep-konsep umum Islam. Kajian dan teori-teori yang baik walaupun datang dari orang-orang bukan Islam dianggap oleh Nabi Muhammad sebagai “hikmat yang hilang dari tangan orang-orang mukmin”. Justeru tidak wajar bagi umat islam membiarkan hikmat-hikmat ini hilang begitu saja.

Ilmu Islam terbahagi kepada dua iaitu ilmu fardu ain dan fardu kifayah. Ilmu fardu ain yang merangkumi ilmu tauhid, fikah dan tasawuf wajib dikuasai oleh semua Muslimin dan Muslimah. Ilmu fardu kifayah hanya wajib dikuasai oleh sebahagian umat Islam di sesuatu tempat.


Antara ilmu fardu kifayah yang wajib dikuasai pada hari ini ialah yang berkaitan dengan bidang ICT (teknologi maklumat dan komunikasi), sains, teknologi, ekonomi, perundangan, persenjataan, perubatan dan yang seumpamanya. Kita perlu lahirkan ramai pakar dalam bidang-bidang ini.

Kita sepatutnya mencontohi raja Zulkarnain yang menguasai teknologi pada zamannya. Dalam surah Al-Kahfi ayat 93-97 Allah berfirman yang bermaksud,
“Hingga apabila dia sampai antara dua buah gunung dia mendapati di hadapan kedua bukit itu satu kaum yang hampir tidak mengerti pembicaraan. Mereka berkata, ‘Hai Zulkarnain sesungguhnya Yakjuj dan Makjuj sering melakukan kerosakan di muka bumi maka dapatkah kami berikan upah kepadamu supaya kamu membuat dinding yang memisahkan antara kami dan mereka?’ Zulkarnain berkata, ‘Apa yang dikuasakan Allah kepadaku adalah lebih baik maka tolonglah aku dengan kekuatan (manusia dan alat-alat) agar aku dapat membina sebuah dinding antara kamu dan mereka. Berilah aku potongan-potongan besi’.
Apabila besi itu sama rata dengan kedua puncak gunung berkatalah Zulkarnain, ‘Tiuplah api’. Apabila besi itu menjadi merah dia pun berkata, ‘Berikan aku tembaga yang mendidih agar aku tuangkan ke atas besi panas itu’. Maka mereka tidak dapat mendakinya dan tidak dapat melubanginya.”

Umat Islam perlu berusaha sedaya upaya mereka untuk menguasai ilmu sains dan teknologi demi masa depan Islam. As-Syeikh Hasan an-Nadwi dalam bukunya Kerugian Dunia Kerana Kemunduran Umat Islam menerangkan tentang punca-punca kejatuhan umat Islam. Antaranya,
“Selama berabad-abad lamanya umat Islam membuangkan waktu dan tenaga berfikir dan berfalsafah berhubung sesuatu yang tidak ada manfaatnya. Jika umat Islam berminat untuk mengkaji ilmu-ilmu yang menguntungkan Islam dan kaum Muslimin pasti kedudukan mereka tidak akan menjadi separah itu. Umat Islam bukan saja asyik membahaskan sifat-sifat Allah, mereka juga asyik berbicara tentang roh, falsafah wihdatul wujud dan sebagainya yang memerlukan tenaga dan masa yang bukan sedikit…” Kecuaian umat Islam untuk menerokai dan menguasai ilmu-ilmu baru menjadi salah satu sebab umat Islam dikotak-katikkan pada hari ini.

Ilmu ialah kuasa dan umat Islam perlu memiliki kuasa ini. Dengan ledakan teknologi maklumat lenyaplah sempadan bagi ilmu. Berhubung dengan ini pengarang buku Empires of the Mind berkata, “Knowledge portability merupakan kalimat yang akan menjadi popular pada masa hadapan. Ia bermaksud ilmu akan berkembang tanpa dibatasi oleh sempadan geografi.

Komputer dan alat-alat telekomunikasi menyebabkan maklumat tersebar dengan cepat di mana-mana saja. Setiap individu perlu mengubahsuai dirinya untuk hidup dalam era yang serba pantas ini. Untuk berjaya kita perlu mengubah cara fikir serta perangai kita agar mentaliti dinosaur tidak menjangkiti kita.…Pada hari ini ilmu ialah kuasa!”

Di dalam proses untuk mempersiapkan diri, umat Islam diizinkan untuk menimba ilmu dan kemahiran dari golongan yang bukan Islam, tidak kira sama ada dari Timur atau Barat, selagi mana ianya tidak bercanggah dengan dasar-dasar Islam. Ibn Majah dan Tirmizi meriwayatkan sabda Nabi yang bermaksud,
"Kalimah yang bijaksana (hikmat) adalah suatu barangan yang telah hilang dari orang yang bijaksana".

Di mana saja dia menemuinya, dialah yang lebih berhak untuk memilikinya." Contoh yang paling baik ialah Nabi Muhammad. Ketika berlaku perang Khandak, baginda memanfaatkan strategi perang orang-orang Parsi dengan mengorek parit yang besar. Strategi ini mendatangkan kesan yang positif ke atas umat Islam di dalam peperangan itu. Begitu juga dengan khalifah Omar Al-Khattab, di zaman pemerintahannya, beliau telah serapkan beberapa cara pentadbiran Parsi ke dalam pentadbirannya.



Tuesday, July 25, 2006

Al-Quran Yang Mencerdaskan

“(Tuhan) Yang Maha Pemurah. Yang telah mengajarkan al-Quran. Dia menciptakan manusia. Mengajarnya pandai berbicara”. (surah ar-Rahman 1- 4)

Kecerdasan adalah kekuatan yang tidak berbentuk material ataupun spirital. Ia merupakan alat bantu yang penting bagi manusia dan makhluk lain menjalani kehidupan di dunia. Kecerdasan dapat dilihat melalui sentuhan, usapan dan sebagainya. Pada awalnya kecerdasan merupakan sebuah potensi yang tersembunyi, dan tersimpan dalam diri manusia. Salah satu alat untuk membongkar kecerdasan pada diri manusia adalah Quran.

Quran adalah salah satu daripada dua sumber yang mampu mengembangkan tingkat kemampuan individu. Sebahagian orang menganggap Quran tidak mempunyai pengaruh terhadap kecedasan diri manusia. Tidak ramai individu yang menemui dan menggunakan Quran sebagai kekuatan dan pendorong kepada kecerdasan diri.

Penulis sendiri dengan sedikit rasa cinta terhadap Quran, telah menemui dan melihat manfaat yang ada dalam Quran. Quran adalah satu pilihan yang tepat untuk mengembangkan tingkat kecerdasan manusia.

Kisah terusirnya Nabi Adam dan Hawa dari syurga, bermula daripada keengganan mereka turun ke bumi. Ayat 36-38 surah al-Baqarah, menceritakan kisah Adam dan Hawa melanggar larangan Allah daripada mendekati dan memakan buah khuldi, kerana mendengar pujukan syaitan. Di bumi mereka tidak lagi dapat melihat dan berdialog dengan Allah dan tidak menikmati keistimewaan syurga.

Melalui ayat 38 surah al-Baqarah, Allah menjanjikan adanya petunjuk yang membebaskan rasa takut dan sedih. Kemudian dalam surah Tha Ha ayat 123, manusia dijanjikan tidak akan celaka dan sesat. Pada ayat 124 surah yang sama Allah menjelaskan lagi, petunjuk itu bersifat peringatan, apabila diabaikan keberadaannya akan membawa akibat penghidupan yang sempit dan buta di akhirat.

Oleh itu, walaupun kenikmatan di bumi tidak sama di syurga, sekurang-kurangnya petunjuk itu menjadi penawar kepada apa yang diinginkan oleh manusia kerana keberadaan Allah pada diri manusia (surah as-Sad ayat 71-72). Manusia boleh berdialog dengan Allah untuk memperolehi petunjuk, dan salah satu petunjuk yang diturunkan adalah al-Quran.

Al-Quran diturunkan dalam suasana dan keadaan yang sangat istimewa. Diturunkan pada satu-satunya bulan yang sangat istimewa iaitu bulan Ramadan. Pada malam yang lebih baik daripada seribu bulan dan diturunkan melalui para malaikat bagi menyelesaikan pelbagai urusan yang membahagiakan manusia.

Namun begitu, masih ada manusia yang bersikap tidak mengendahkan al-Quran dan petunjuk dari Allah sebagaimana dinyatakan oleh Allah dalam surah al-Anbiyak ayat 2. “Tidak datang kepada mereka suatu ayat Al-Quran pun yang baru (diturunkan) dari Tuhan mereka, melainkan mereka mendengarnya, sedang mereka bermain-main.”

Monday, July 24, 2006

Bersahur Dan Pandangan Sains

Bersahur merupakan salah satu amalan penting di bulan Ramadan. Nabi bersabda, “Bersahurlah kamu kerana pada sahur itu ada berkat.” (Bukhari, Muslim, Ahmad, Tirmizi, Nasai dan Ibn Majah) Dalam hadis ini bersahur dikaitkan dengan keberkatan. Keberkatan bermaksud rahmat, kebaikan serta restu Ilahi.

Dalam riwayat yang lain baginda bersabda, “Sesungguhnya perbezaan antara puasa kita dengan ahli kitab ialah makan sahur.” (Muslim, Ahmad, Abu Daud, Tirmizi, Nasai) Mengikut hadis ini pula, bersahur menjadi pembeza antara puasa umat Islam dengan ahli kitab.

Umat Islam disuruh melewatkan sahur kerana nabi bersabda, “Sentiasalah umatku berada dalam kebaikan selama mana mereka melewatkan sahur dan menyegerakan berbuka puasa.” (Ahmad) Melewatkan sahur bermaksud bersahur ketika menghampiri waktu subuh dan berhubung dengan ini Zaid bin Thabit pernah berkata, “Kami pernah bersahur bersama nabi kemudian kami bangun untuk melakukan solat (subuh).” Kemudian Zaid bin Thabit disoal, “Berapa lama masa antara keduanya (yakni antara makan sahur dan solat subuh)?” Berkata Zaid, “Sekadar membaca 50 ayat Al-Quran.” (Bukhari)

Dalam kitab Nailul Authar disebutkan, “Imam Ibn Abdil Bar berkata, hadis-hadis yang menerangkan tentang kepentingan menyegerakan berbuka puasa dan melewatkan sahur kesemuanya adalah bertaraf sahih dan mutawatir.”

Penekanan nabi agar sahur dilewatkan dan tidak diabaikan amat signifikan lagi saintifik kerana ia menepati waktu bersarapan pagi (breakfast). Kajian semasa menunjukkan makanan yang paling utama dalam masa 24 jam ialah sarapan pagi. BBC News bertarikh 7 Mac 2003 melaporkan, bersarapan pagi adalah amat penting untuk memelihara kesihatan seseorang berbanding mengambil makanan pada waktu yang lain. Kajian yang dilakukan oleh Dr. Mark Pereira dan rakan-rakannya dari Pusat Perubatan Harvard mendapati, mereka yang tidak bersarapan pagi berisiko tinggi menjadi gemuk, mendapat sakit jantung dan menghidap penyakit kencing manis.

Kajian yang sama juga menunjukkan, mereka yang sentiasa bersarapan pagi menanggung risiko 50% lebih rendah diserang masalah kesihatan yang berkaitan dengan lebihan kadar gula dalam darah berbanding dengan mereka yang jarang bersarapan pagi.

Hal ini menjadi lebih penting ke atas kanak-kanak yang berpuasa kerana kesan meninggalkan sarapan pagi ke atas kanak-kanak adalah lebih negatif disebabkan tubuh mereka yang kecil. Kajian-kajian terkini menunjukkan apabila glukosa dalam darah menurun selepas bangun dari tidur dan keadaan ini berterusan kerana tidak bersarapan pagi, kanak-kanak akan menghadapi masalah memberi tumpuan kepada pelajaran.

Tambahan dari itu satu kajian yang dilakukan oleh Dr. Theresa Nicklas dari Kolej Perubatan Baylor dan rakan-rakannya ke atas 700 pelajar-pelajar dari Louisiana menunjukkan, mereka yang tidak bersarapan pagi menanggung risiko dua kali ganda mengalami kekurangan zat besi dalam darah dan ini akan menyebabkan penyakit anemia (iaitu suatu penyakit yang berkaitan dengan kekurangan hemoglobin dalam darah). Hal ini dilaporkan oleh Kerry Neville dari Chicago Tribune pada 24 September 2001. Justeru secara umumnya, mereka yang berpuasa tanpa mengabaikan sahur, tidak akan mendapat kemudaratan berdasarkan kajian-kajian yang dipaparkan ini.

Tambahan dari itu, puasa meredakan tekanan atau stress pada jiwa seseorang kerana, di samping tidak makan, minum dan bersetubuh di siang hari, umat Islam digalakkan membaca Al-Quran, bersedekah, memelihara lidah serta membanyakkan solat dan zikir. Amalan-amalan ini menguatkan dan mendamaikan hati.

Justeru puasa Ramadan yang diwajibkan Allah kepada umat Islam adalah sesuai dengan fitrah semula jadi manusia dan ia mampu dilaksanakan oleh segenap lapisan masyarakat kerana pendekatannya adalah tidak memudaratkan. Yang paling penting ialah, ia adalah ibadah yang diwajibkan Allah dan Allah amat mengetahui apakah yang terbaik bagi manusia.

Cemerlang Dengan Berdakwah

Berdakwah adalah wajib bagi lelaki dan wanita dan tidak akan ada kecemerlangan bagi umat tanpa dakwah.
Dalam surah At-Taubah ayat 71 Allah berfirman, “Orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan setengah mereka menjadi pembantu bagi yang lain. Mereka mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkaran.” Dakwah adalah sebahagian daripada jihad. Dakwah bermaksud mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkaran.

Imam Muslim meriwayatkan sabda nabi yang bermaksud, “Barang siapa antara kamu melihat kemungkaran hendaklah dia cegah dengan tangannya. Jika tidak berdaya hendaklah dicegah dengan lisannya dan jika tidak berdaya hendaklah dicegah dengan hatinya dan mencegah dengan hati adalah tanda selemah-lemah iman.”

Ketika mencegah kemungkaran kadar minimum yang dituntut ialah mengingkari dengan hati. Dalam kitab Dalilul Falihin telah disebutkan,
“Mencegah dengan hati bermaksud membenci kemungkaran dengan hati disertai dengan azam untuk mencegahnya dengan lisan ataupun perbuatan jika seseorang mampu nanti. Membenci maksiat dengan hati hukumnya ialah wajib ke atas setiap individu dan sesiapa yang reda dengan mungkar bererti dia bersekongkol dengannya.”

Sebahagian umat Islam pada hari ini memejamkan mata mereka dari kemungkaran yang berlaku di dalam masyarakat. Lorong hidup mereka hanya menghubungkan mereka kepada rumah dan tempat kerja sahaja. Di tempat kerja pula mereka hanya menjadi pak turut walaupun dalam perkara yang jelas bercanggah dengan Islam. Mereka berpegang kepada konsep ‘kubur kamu, kamu jaga dan kubur aku, aku yang jaga.’ Sahabat Talhah bin Ubaidillah pernah berkata, “Cukuplah menjadi keaiban pada seseorang jika dia sekadar duduk diam di rumahnya sahaja.” Perkara ini disebutkan di dalam Tabaqat ibn Saad.

Mereka yang meninggalkan dakwah tidak akan cemerlang kerana azab Allah akhirnya akan menimpa mereka. Dalam sebuah hadis riwayat Imam Tirmizi, nabi bersabda, “Demi Allah hendaklah kamu mengajak kepada makruf dan hendaklah kamu mencegah kemungkaran dan jika ini tidak dilakukan akan datanglah kepadamu balasan berbentuk seksaan daripada Allah dalam masa yang terdekat dan ketika itu kamu semua akan berdoa sedangkan Allah tidak akan mengabulkan doa-doa kamu.” Hadis ini bertaraf hasan.

Awasi Pendakwah Dari Pintu Neraka

Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan sebuah hadis dari Huzaifah bin Yaman yang bermaksud, “Aku (Huzaifah) bertanya, ‘Ya Rasulullah, sesungguhnya kami dahulunya berada dalam jahiliah dan kejahatan maka Allah mendatangkan kebaikan ini kepada kami. Apakah selepas ini akan ada kejahatan?’ Nabi menjawab, ‘Ya’. Aku bertanya lagi, ‘Apakah selepas kejahatan itu akan datang pula kebaikan?’ Nabi menjawab, ‘Ya, tetapi akan ada bersamanya dakhnun (asap).’ Aku bertanya lagi, ‘Apakah asap itu ya Rasulullah?’ Baginda bersabda, ‘Golongan yang tidak lagi mengikut landasan sunnahku dan mereka tidak menggunakan petunjuk yang aku bawa. Kamu akan mengenali dan mengingkari mereka’. Aku seterusnya bertanya, ‘Apakah selepas kebaikan ini akan ada pula kejahatan?’ Nabi bersabda, ‘Ya, akan datang pendakwah-pendakwah di pintu neraka. Sesiapa yang mengikut mereka akan dicampakkan ke dalamnya.” As-Syeikh Said Hawa dalam Al-Madkhal Ila Dakwah Al-Ikhwan Al-Muslimin mengaitkan hadis ini dengan zaman kita sekarang. Beliau berkata, “Marhalah dakhnun atau ‘asap’ berterusan hingga ke zaman kita hari ini dan era kita sekarang ialah era lahirnya pendakwah-pendakwah di pintu neraka.”

Salah satu aliran yang sedang menyerang dunia hari ini ialah Islam Liberal. Aliran ini menghendaki Islam ditafsirkan secara yang lebih terbuka dan bebas tanpa terikat kepada manhaj atau landasan yang bawa oleh nabi dan ulama salafusaleh.

Antara ciri yang terdapat pada aliran ini ialah:

  • Kesamaan agama. Islam adalah agama yang benar tetapi agama lain yang mengajar konsep ketuhanan dan kebaikan juga adalah benar.
  • Tafsiran Al-Quran perlu bebas. Wahyu mempunyai dua kategori iaitu yang bertulis dan tidak bertulis. Wahyu yang tidak bertulis ialah akal, justeru akal perlu dibebaskan untuk mentafsir Al-Quran.
  • Nabi manusia biasa. Nabi adalah manusia biasa yang boleh tersilap justeru baginda boleh dikritik. Sunah nabi hanya relevan untuk masyarakat Arab di zaman dahulu. Mukjizat nabi hanyalah cerita rekaan manusia yang kemudiannya diagung-agungkan.
  • Hadis tidak lagi relevan. Hadis-hadis tidak berasal dari nabi. Ia hanyalah ciptaan orang-orang yang ada kepentingan. Hadis yang benar hanyalah yang bertaraf mutawatir. Namun kebenarannya hanya sesuai untuk diamalkan oleh orang Arab pada zaman nabi. Hadis-hadis yang berkaitan dengan alam ghaib seperti azab kubur dan israk-mikraj hanyalah cerita rekaan yang dibuat oleh perawi-perawi hadis.

Antara pelopor Islam Liberal yang terkenal di Timur Tengah ialah Rifaat Bik Al-Tantawi, Taha Husein, Ali Abdul Raziq, Mahmud Abu Rayya dan Ahmad Amin. Di Indonesia pula mereka ialah Harun Nasution, Nurcholis Majid dan Nasaruddin Umar.

Pada hari ini terdapat wanita yang ingin menjadi khatib dan imam pada hari Jumaat sedangkan Allah, dengan kasih sayangnya, tidak mewajibkan solat Jumaat bagi wanita agar kaum wanita dapat memberikan fokus kepada perkara lain yang penting. Inilah antara cabaran bagi umat di akhir zaman. Agama hendak diubah, cara amalan nabi dan sahabat mahu dicabar....

Oleh sebab kecemerlangan tidak dapat dipisahkan dari kebenaran, berdakwah bertujuan untuk menegakkan kebenaran di penjuru masing-masing mendekatkan kita kepada rahmat Allah. Dengan itu kehidupan kita menjadi sejahtera.

Ibadah Melahirkan Pengurus Masa Yang Baik

Amal ibadah di dalam Rukun Islam amat menekankan tentang masa. Latihan-latihan yang terdapat di dalamnya mampu mendidik umat menjadi pengurus masa yang baik. Sebagai contoh, solat fardu yang diwajibkan ke atas setiap mukalaf juga dikenali sebagai solat waktu, kerana ia terikat dengan waktu-waktu tertentu.

Mereka yang menjaga solat yang lima setiap hari perlu peka dengan waktu kerana solat yang dilakukan di luar waktu dengan sengaja dianggap sebagai tidak sah dan bakal mendatangkan dosa. Allah telah berfirman di dalam Al-Quran: “Maka datanglah selepas mereka pengganti (yang keji) yang mensia-siakan solat mereka serta mengikut hawa nafsu, maka kelak mereka akan menemui kesesatan..” (Surah Maryam ayat 59)


Berhubung dengan ayat ini, Abdullah ibn Abbas ra berkata: “Maksud ayat ‘mensia-siakan solat’ bukanlah meninggalkan solat sama sekali, tetapi melewatkannya dari waktunya”. Imam Said ibn Al-Musayyab mempunyai pendapat yang sama dengan Ibn Abbas ra. Beliau berkata: “Mereka melaksanakan solat zuhur di dalam waktu asar, solat asar di dalam waktu maghrib, solat maghrib di dalam waktu isyak, solat isyak ditangguhkan sehingga masuk waktu subuh dan solat subuh dilaksanakan selepas matahari terbit.
Sesiapa yang mati di dalam keadaan ini tanpa bertaubat, dia akan dihumban masuk ke dalam sebuah lembah yang bernama ghay di dalam neraka dan diberikan makanan yang teramat jijik..”

Puasa Ramadan juga melatih umat Islam menjadi pengurus masa yang baik kerana sebelum berpuasa, mereka wajib pastikan terlebih dahulu tanggal satu Ramadan, sama ada dengan menggunakan sistem rukyah ataupun hisab. Selepas itu, umat Islam wajib berpuasa bermula dari masuknya waktu subuh sehingga masuknya waktu maghrib setiap hari selama sebulan.

Jika seseorang Muslim berbuka puasa seminit lebih awal dari waktu maghrib, puasanya dianggap batal. Demikian juga, jika masuknya waktu subuh ialah pada jam 6.00 pagi, dan seseorang masih menjamah makanan secara sedar pada jam 6.01 pagi, puasanya juga dianggap batal. Seseorang muslim yang meninggalkan puasa Ramadan dengan sengaja dan ingin menggantikannya pada waktu yang lain, puasa gantiannya itu tidak lagi dipandang bernilai di sisi Allah. Semua ini melatih umat Islam menjadi golongan yang memandang penting ketepatan masa di dalam kehidupan mereka.

Ibadah zakat dan haji juga mempunyai latihan yang berkaitan dengan pengurusan masa. Sebagai contoh, zakat harta benda yang merangkumi binatang ternakan, tanam-tanaman, emas, perak serta barang perniagaan, wajib dikeluarkan apabila cukup nisab dan haulnya. Haul bermaksud genap setahun peredaran masa.

Justeru untuk mengeluarkan zakat, seseorang perlu prihatin dengan masa di samping sentiasa mengemaskinikan rekod perniagaan dan harta bendanya. Perlaksanaan ibadah haji juga tidak terlepas daripada latihan pengurusan masa kerana ibadah ini hanya sah dilakukan pada bulan dan masa yang tertentu. Imam Bukhari telah meriwayatkan, Abdullah ibn Omar ra berkata: “Bulan-bulan haji ialah Syawal, Zulkaedah dan Zulhijah”. Jika seseorang terlewat wuquf di Arafah (iaitu waktu di antara gelincir dan terbenam matahari pada 9 Zulhijah), hajinya dikira tidak sah.

Kesan dari perlaksanaan ibadah-ibadah ini, akan lahirlah umat yang produktif yang tidak akan membuangkan masa mereka di dalam perkara yang tidak berfaedah...