Friday, December 29, 2006

Cemerlang Melalui Mujahadah

Mujahadah bermaksud 'berusaha untuk melawan dan menundukkan kehendak hawa nafsu.' Dalam sebuah hadis bertaraf hasan, nabi bersabda, 'Seorang mujahid (iaitu seorang yang berjihad) ialah dia yang melawan hawa nafsunya kerana Allah.'

Mengikut Said Hawa dalam Al-Asas fit Tafsir, 'Secara dasarnya melawan hawa nafsu bermaksud menundukkan nafsu agar ia mengikut kehendak Allah dalam setiap perkara.' Apabila nafsu dapat dikalahkan seseorang akan mengutamakan perkara yang dicintai Allah dan mengetepikan kehendak peribadi. Dalam Ihya Ulumuddin Imam Al-Ghazali berkata, 'Antara tanda kecintaan hamba kepada Allah ialah dia mengutamakan perkara yang disukai Allah daripada kehendak nafsu serta peribadi, sama ada dalam aspek zahir atau batin.

Oleh itu seseorang yang mencintai Allah sanggup memikul kerja-kerja yang sukar serta sanggup melawan hawa nafsunya kerana Allah.... Dia tidak akan sanggup melakukan sesuatu yang maksiat. Berhubung dengan ini Abdullah ibn Mubarak berkata, 'Jika cintamu benar, kamu akan mentaatiNya kerana seseorang yang mencintai sesuatu sanggup mentaati sesuatu.'

Perjuangan untuk melawan hawa nafsu bukanlah suatu yang mudah. Imam Al-Ghazali dalam Raudatut Talibin berkata, 'Berhati-hatilah kamu dengan hawa nafsu. Ia adalah musuh kita yang paling ketat dan yang paling sukar untuk dikalahkan. Hal ini disebabkan ia berada dalam tubuh dan diri kita. (Sebagai contoh) jika seseorang pencuri berada dalam rumah kita, kita sukar mengalahkannya. Selain dari itu, ia merupakan musuh yang kita cintai dan manusia biasanya tidak mampu melihat keaiban mereka yang dicintainya.'

Mereka yang sanggup melawan nafsu ialah mereka yang percaya kepada akhirat serta hari pembalasan. Inilah kekuatan yang ada pada umat Islam. Kepercayaan ini menjadikan mereka golongan yang sanggup mengetepikan keseronokan sementara demi untuk mencapai matlamat jangka panjang yang kekal abadi.

Golongan yang memiliki sifat ini sebenarnya merupakan golongan yang istimewa kerana mereka adalah calon yang bakal berjaya dalam semua bidang yang mereka ceburi. Denis Waitley dalam Empires of the Mind berkata, 'Saya berpendapat, salah satu punca utama yang menyebabkan Amerika bermasalah besar pada hari ini ialah, rakyatnya begitu asyik dan ghairah dengan keseronokan jangka pendek dan melupakan kepentingan jangka panjang.' Mereka yang bermujahadah sebenarnya merupakan golongan yang mementingkan kepentingan jangka panjang.

Antara perkara yang merangsang mereka untuk mengutamakan kebahagiaan masa depan ialah firman Allah dalam sebuah hadis Qudsi yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang bermaksud, 'Aku (Allah) telah sediakan bagi hambaKu yang salih (nikmat) yang tidak pernah dilihat oleh mata, tidak pernah didengari oleh telinga dan tidak pernah dirasai oleh hati manusia.'

Ibadah yang ditetapkan agama sebenarnya mempunyai unsur-unsur mujahadah.............

Thursday, December 28, 2006

Kebenaran Bersinar Di Barat

Satu pertanda baik yang menonjol pada hari ini ialah semakin ramai golongan di Barat yang berminat untuk memeluk Islam selepas mengkaji ajaran Islam. Sebagai contoh, Lucy Berrington di dalam majalah The Times bertarikh 9 November 1993 di bawah tajuk The Spread of a World Creed berkata, Semakin ramai rakyat Britain terutamanya dari kalangan kaum wanita yang memeluk agama Islam. Jumlah mereka dianggarkan di antara 10,000 hingga 20,000 orang.

Di jangkakan dalam tempoh 20 tahun jumlah ini akan mengatasi jumlah keseluruhan pendatang-pendatang asing yang Muslim.... Di Britain antara wanita yang telah memeluk Islam ialah anak perempuan kepada hakim yang terkenal, Lord Scott. Mereka memilih Islam selepas melihat gejala-gejala negatif melanda Barat dengan dahsyatnya, sebagai contoh peningkatan kes-kes jenayah, keruntuhan sistem kekeluargaan, penyalahgunaan dadah dan ketagihan arak. Di samping itu mereka juga kagum dengan disiplin Islam di samping jaminan kesejahteraan hidup yang terdapat di dalam ajarannya.

Marc Ramirez dari Seattletimes dalam artikelnya yang diterbitkan pada 24 Januari 1999 melaporkan, Dengan enam juta penganut-penganut Islam di Amerika, Islam menjadi agama yang paling cepat berkembang di Amerika.

Pada bulan Mei 1995, Peter Fray dalam The Sydney Morning Herald melaporkan, golongan wanita dan Kristian di Sydney semakin berminat dengan Islam melalui artikelnya yang bertajuk Why Women And Christians Are Embracing Islam.

Chris L. Jenkins dari Washington Post dalam artikelnya yang bertajuk Islam Luring More Latinos pada 7 Januari 2001 berkata, golongan kulit hitam semakin berminat untuk memeluk Islam di Amerika dan jumlah mereka setakat ini berada di dalam lingkungan 25,000 orang terutamanya di kawasan New York, California Selatan dan Chicago.

Pada tanggal 20 Mei 2001, akhbar San Francisco Chronicle pula melaporkan, Ramai wanita di Boston memeluk Islam dan mereka berasa tenang mengamalkan ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad.

Pada 7 Oktober 2002, lebih kurang setahun selepas berlakunya tragedi 11 September 2001, Jocelyn Wiener dari St. Petersburg Times melaporkan, Setiap tahun lebih kurang 20,000 orang telah memeluk agama Islam di Amerika.

Dalam Palm Beach Post bertarikh 6 November, 2002, di bawah tajuk Convert Finds Women's Rights In Islam, Elizabeth Clarke melaporkan, Empat belas tahun dahulu Mimi Ma, bekas pelajar sekolah berasrama penuh di Indiana, memeluk Islam ketika berumur 18 tahun. Beliau dilahirkan di Vietnam dan dibesarkan sebagai seorang penganut agama Budda. Kemudian beliau berpindah ke Afrika dan di sana beliau menganut agama Kristian sebelum berpindah ke Amerika.... Mengikut Altaf Ali, pengarah Majlis Hubungan Amerika-Islam yang berpusat di Florida, sebelum ini mereka yang memeluk Islam kebanyakannya adalah dari golongan Afrika yang menetap di Amerika tetapi pada hari ini semakin ramai dari kalangan kulit putih yang memeluk Islam. Ini adalah satu perkembangan yang pelik. Kesemua ini tidak akan berlaku di saat-saat yang mencabar ini jika Islam bukan merupakan satu agama yang hebat. Jelas sekali Allah sedang mengurniakan pertolonganNya kepada umat Islam pada hari ini.

Meminggirkan Mentaliti Inferior

Umat Islam adalah umat pilihan justeru mereka tidak perlu berasa inferior atau rendah diri berdepan dengan kegawatan hidup pada hari ini. Dalam surah Ali-Imran ayat 110 Allah menggelar umat ini sebagai khaira ummatin ukhrijat linnas iaitu sebaik-baik umat yang dikeluarkan bagi manusia. Dalam surah Al-Baqarah ayat 143 pula Allah memuji umat ini sebagai ummatan wasatha iaitu umat yang terbaik lagi adil. Allah juga berjanji dalam surah Al-Anbiya ayat 105, Sesungguhnya Kami telah tulis dalam kitab Zabur sesudah Kami (tulis dalam) Lauh Mahfuz bahawasanya bumi ini akan dipusakai oleh hamba-hambaKu yang soleh.

Siapakah hamba-hamba Allah yang soleh ini? Imam Ibn Kathir dalam Tafsir Al-Quran Al-Azim berkata, Mereka ialah golongan yang beribadah kepada Allah berlandaskan syariatNya. Mereka mengutamakan ketaatan kepada Allah dan bukannya ketaatan kepada syaitan atau kehendak hawa nafsu manusia.Dalam erti kata yang lain, mereka ialah golongan yang sentiasa bermuhasabah, bertaubat, bermujahadah, bermuraqabah serta beristiqamah di atas landasan Islam.

Sahabat Abdullah ibn Abbas berpendapat, Umat nabi Muhammad ialah golongan yang akan mewarisi bumi ini dan mereka akan dimasukkan ke dalam syurga. Merekalah orang-orang yang soleh itu. Sahabat Abu Dardak bersetuju dengan pandangan ini. Beliau berkata, Kitalah golongan yang soleh itu.

Seperti yang disebutkan sebelum ini, sejarah membuktikan kebenaran pandangan-pandangan ini kerana jika tidaklah kerana umat Islam, dunia akan terus berada di era kegelapan. Anda mungkin masih ingat perkataan Philip K. Hitti dalam History of the Arabs yang bermaksud, Orang Islam Sepanyol berjaya mencatat sejarah keintelektualan yang agong di zaman pertengahan di Eropah. Merekalah sebenarnya pembawa obor budaya dan tamadun bagi seluruh dunia terutamanya antara abad kelapan dan tiga belas Masihi. Juga perkataan A.M. Lothrop Stoddard dalam The New World of Islam yang bermaksud, Kebangkitan Islam merupakan satu episod yang paling mengagumkan dalam sejarah manusia.

Ia lahir di bumi yang tidak terkenal kemudian dalam jangka masa hanya satu abad ia berkembang sehingga menguasai separuh alam. Dalam proses itu ia meruntuhkan empayar-empayar besar dan serentak dengan itu membentuk hati-hati manusia sehingga akhirnya berjaya menegakkan dunia baru iaitu dunia Islam.

Umat di akhir zaman akan mengulangi kecemerlangan ini berdasarkan sabda nabi yang bermaksud, Akan sentiasa ada satu segolongan (taifah) dari umatku yang berpegang teguh ajaran agama dan mereka akan menentang dan menguasai musuh-musuh mereka. Tidak ada apa yang dapat memudaratkan mereka kecuali apa yang menimpa mereka dalam bentuk ujian-ujian sehinggalah akhirnya datang urusan Allah. Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad.