Monday, July 24, 2006

Bersahur Dan Pandangan Sains

Bersahur merupakan salah satu amalan penting di bulan Ramadan. Nabi bersabda, “Bersahurlah kamu kerana pada sahur itu ada berkat.” (Bukhari, Muslim, Ahmad, Tirmizi, Nasai dan Ibn Majah) Dalam hadis ini bersahur dikaitkan dengan keberkatan. Keberkatan bermaksud rahmat, kebaikan serta restu Ilahi.

Dalam riwayat yang lain baginda bersabda, “Sesungguhnya perbezaan antara puasa kita dengan ahli kitab ialah makan sahur.” (Muslim, Ahmad, Abu Daud, Tirmizi, Nasai) Mengikut hadis ini pula, bersahur menjadi pembeza antara puasa umat Islam dengan ahli kitab.

Umat Islam disuruh melewatkan sahur kerana nabi bersabda, “Sentiasalah umatku berada dalam kebaikan selama mana mereka melewatkan sahur dan menyegerakan berbuka puasa.” (Ahmad) Melewatkan sahur bermaksud bersahur ketika menghampiri waktu subuh dan berhubung dengan ini Zaid bin Thabit pernah berkata, “Kami pernah bersahur bersama nabi kemudian kami bangun untuk melakukan solat (subuh).” Kemudian Zaid bin Thabit disoal, “Berapa lama masa antara keduanya (yakni antara makan sahur dan solat subuh)?” Berkata Zaid, “Sekadar membaca 50 ayat Al-Quran.” (Bukhari)

Dalam kitab Nailul Authar disebutkan, “Imam Ibn Abdil Bar berkata, hadis-hadis yang menerangkan tentang kepentingan menyegerakan berbuka puasa dan melewatkan sahur kesemuanya adalah bertaraf sahih dan mutawatir.”

Penekanan nabi agar sahur dilewatkan dan tidak diabaikan amat signifikan lagi saintifik kerana ia menepati waktu bersarapan pagi (breakfast). Kajian semasa menunjukkan makanan yang paling utama dalam masa 24 jam ialah sarapan pagi. BBC News bertarikh 7 Mac 2003 melaporkan, bersarapan pagi adalah amat penting untuk memelihara kesihatan seseorang berbanding mengambil makanan pada waktu yang lain. Kajian yang dilakukan oleh Dr. Mark Pereira dan rakan-rakannya dari Pusat Perubatan Harvard mendapati, mereka yang tidak bersarapan pagi berisiko tinggi menjadi gemuk, mendapat sakit jantung dan menghidap penyakit kencing manis.

Kajian yang sama juga menunjukkan, mereka yang sentiasa bersarapan pagi menanggung risiko 50% lebih rendah diserang masalah kesihatan yang berkaitan dengan lebihan kadar gula dalam darah berbanding dengan mereka yang jarang bersarapan pagi.

Hal ini menjadi lebih penting ke atas kanak-kanak yang berpuasa kerana kesan meninggalkan sarapan pagi ke atas kanak-kanak adalah lebih negatif disebabkan tubuh mereka yang kecil. Kajian-kajian terkini menunjukkan apabila glukosa dalam darah menurun selepas bangun dari tidur dan keadaan ini berterusan kerana tidak bersarapan pagi, kanak-kanak akan menghadapi masalah memberi tumpuan kepada pelajaran.

Tambahan dari itu satu kajian yang dilakukan oleh Dr. Theresa Nicklas dari Kolej Perubatan Baylor dan rakan-rakannya ke atas 700 pelajar-pelajar dari Louisiana menunjukkan, mereka yang tidak bersarapan pagi menanggung risiko dua kali ganda mengalami kekurangan zat besi dalam darah dan ini akan menyebabkan penyakit anemia (iaitu suatu penyakit yang berkaitan dengan kekurangan hemoglobin dalam darah). Hal ini dilaporkan oleh Kerry Neville dari Chicago Tribune pada 24 September 2001. Justeru secara umumnya, mereka yang berpuasa tanpa mengabaikan sahur, tidak akan mendapat kemudaratan berdasarkan kajian-kajian yang dipaparkan ini.

Tambahan dari itu, puasa meredakan tekanan atau stress pada jiwa seseorang kerana, di samping tidak makan, minum dan bersetubuh di siang hari, umat Islam digalakkan membaca Al-Quran, bersedekah, memelihara lidah serta membanyakkan solat dan zikir. Amalan-amalan ini menguatkan dan mendamaikan hati.

Justeru puasa Ramadan yang diwajibkan Allah kepada umat Islam adalah sesuai dengan fitrah semula jadi manusia dan ia mampu dilaksanakan oleh segenap lapisan masyarakat kerana pendekatannya adalah tidak memudaratkan. Yang paling penting ialah, ia adalah ibadah yang diwajibkan Allah dan Allah amat mengetahui apakah yang terbaik bagi manusia.

Cemerlang Dengan Berdakwah

Berdakwah adalah wajib bagi lelaki dan wanita dan tidak akan ada kecemerlangan bagi umat tanpa dakwah.
Dalam surah At-Taubah ayat 71 Allah berfirman, “Orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan setengah mereka menjadi pembantu bagi yang lain. Mereka mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkaran.” Dakwah adalah sebahagian daripada jihad. Dakwah bermaksud mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkaran.

Imam Muslim meriwayatkan sabda nabi yang bermaksud, “Barang siapa antara kamu melihat kemungkaran hendaklah dia cegah dengan tangannya. Jika tidak berdaya hendaklah dicegah dengan lisannya dan jika tidak berdaya hendaklah dicegah dengan hatinya dan mencegah dengan hati adalah tanda selemah-lemah iman.”

Ketika mencegah kemungkaran kadar minimum yang dituntut ialah mengingkari dengan hati. Dalam kitab Dalilul Falihin telah disebutkan,
“Mencegah dengan hati bermaksud membenci kemungkaran dengan hati disertai dengan azam untuk mencegahnya dengan lisan ataupun perbuatan jika seseorang mampu nanti. Membenci maksiat dengan hati hukumnya ialah wajib ke atas setiap individu dan sesiapa yang reda dengan mungkar bererti dia bersekongkol dengannya.”

Sebahagian umat Islam pada hari ini memejamkan mata mereka dari kemungkaran yang berlaku di dalam masyarakat. Lorong hidup mereka hanya menghubungkan mereka kepada rumah dan tempat kerja sahaja. Di tempat kerja pula mereka hanya menjadi pak turut walaupun dalam perkara yang jelas bercanggah dengan Islam. Mereka berpegang kepada konsep ‘kubur kamu, kamu jaga dan kubur aku, aku yang jaga.’ Sahabat Talhah bin Ubaidillah pernah berkata, “Cukuplah menjadi keaiban pada seseorang jika dia sekadar duduk diam di rumahnya sahaja.” Perkara ini disebutkan di dalam Tabaqat ibn Saad.

Mereka yang meninggalkan dakwah tidak akan cemerlang kerana azab Allah akhirnya akan menimpa mereka. Dalam sebuah hadis riwayat Imam Tirmizi, nabi bersabda, “Demi Allah hendaklah kamu mengajak kepada makruf dan hendaklah kamu mencegah kemungkaran dan jika ini tidak dilakukan akan datanglah kepadamu balasan berbentuk seksaan daripada Allah dalam masa yang terdekat dan ketika itu kamu semua akan berdoa sedangkan Allah tidak akan mengabulkan doa-doa kamu.” Hadis ini bertaraf hasan.

Awasi Pendakwah Dari Pintu Neraka

Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan sebuah hadis dari Huzaifah bin Yaman yang bermaksud, “Aku (Huzaifah) bertanya, ‘Ya Rasulullah, sesungguhnya kami dahulunya berada dalam jahiliah dan kejahatan maka Allah mendatangkan kebaikan ini kepada kami. Apakah selepas ini akan ada kejahatan?’ Nabi menjawab, ‘Ya’. Aku bertanya lagi, ‘Apakah selepas kejahatan itu akan datang pula kebaikan?’ Nabi menjawab, ‘Ya, tetapi akan ada bersamanya dakhnun (asap).’ Aku bertanya lagi, ‘Apakah asap itu ya Rasulullah?’ Baginda bersabda, ‘Golongan yang tidak lagi mengikut landasan sunnahku dan mereka tidak menggunakan petunjuk yang aku bawa. Kamu akan mengenali dan mengingkari mereka’. Aku seterusnya bertanya, ‘Apakah selepas kebaikan ini akan ada pula kejahatan?’ Nabi bersabda, ‘Ya, akan datang pendakwah-pendakwah di pintu neraka. Sesiapa yang mengikut mereka akan dicampakkan ke dalamnya.” As-Syeikh Said Hawa dalam Al-Madkhal Ila Dakwah Al-Ikhwan Al-Muslimin mengaitkan hadis ini dengan zaman kita sekarang. Beliau berkata, “Marhalah dakhnun atau ‘asap’ berterusan hingga ke zaman kita hari ini dan era kita sekarang ialah era lahirnya pendakwah-pendakwah di pintu neraka.”

Salah satu aliran yang sedang menyerang dunia hari ini ialah Islam Liberal. Aliran ini menghendaki Islam ditafsirkan secara yang lebih terbuka dan bebas tanpa terikat kepada manhaj atau landasan yang bawa oleh nabi dan ulama salafusaleh.

Antara ciri yang terdapat pada aliran ini ialah:

  • Kesamaan agama. Islam adalah agama yang benar tetapi agama lain yang mengajar konsep ketuhanan dan kebaikan juga adalah benar.
  • Tafsiran Al-Quran perlu bebas. Wahyu mempunyai dua kategori iaitu yang bertulis dan tidak bertulis. Wahyu yang tidak bertulis ialah akal, justeru akal perlu dibebaskan untuk mentafsir Al-Quran.
  • Nabi manusia biasa. Nabi adalah manusia biasa yang boleh tersilap justeru baginda boleh dikritik. Sunah nabi hanya relevan untuk masyarakat Arab di zaman dahulu. Mukjizat nabi hanyalah cerita rekaan manusia yang kemudiannya diagung-agungkan.
  • Hadis tidak lagi relevan. Hadis-hadis tidak berasal dari nabi. Ia hanyalah ciptaan orang-orang yang ada kepentingan. Hadis yang benar hanyalah yang bertaraf mutawatir. Namun kebenarannya hanya sesuai untuk diamalkan oleh orang Arab pada zaman nabi. Hadis-hadis yang berkaitan dengan alam ghaib seperti azab kubur dan israk-mikraj hanyalah cerita rekaan yang dibuat oleh perawi-perawi hadis.

Antara pelopor Islam Liberal yang terkenal di Timur Tengah ialah Rifaat Bik Al-Tantawi, Taha Husein, Ali Abdul Raziq, Mahmud Abu Rayya dan Ahmad Amin. Di Indonesia pula mereka ialah Harun Nasution, Nurcholis Majid dan Nasaruddin Umar.

Pada hari ini terdapat wanita yang ingin menjadi khatib dan imam pada hari Jumaat sedangkan Allah, dengan kasih sayangnya, tidak mewajibkan solat Jumaat bagi wanita agar kaum wanita dapat memberikan fokus kepada perkara lain yang penting. Inilah antara cabaran bagi umat di akhir zaman. Agama hendak diubah, cara amalan nabi dan sahabat mahu dicabar....

Oleh sebab kecemerlangan tidak dapat dipisahkan dari kebenaran, berdakwah bertujuan untuk menegakkan kebenaran di penjuru masing-masing mendekatkan kita kepada rahmat Allah. Dengan itu kehidupan kita menjadi sejahtera.