Penegakan negara Islam yang pertama di Madinah tidak akan berlaku tanpa perancangan yang rapi dan usaha yang gigih oleh nabi dan para sahabat. Titik tolak kepada penegakan itu ialah dakwah secara terbuka yang dilakukan oleh nabi kepada bangsa Arab. Nabi menyedari ketika datangnya musim haji bangsa-bangsa Arab dari luar Mekah akan datang berhimpun di kota Mekah.
Oleh kerana golongan Quraisy menolak risalah baginda, nabi tidak mahu membuang masa menanti pengislaman mereka. Baginda mengubah strategi dan terus melonjakkan dakwah Islam ke tahap yang lebih tinggi dengan menyampaikan risalah Islam kepada orang-orang luar Mekah.
Lonjakan dakwah ini memberi kesan yang amat positif kerana golongan Aus dan Khazraj dari Madinah terkesan dengan dakwah itu. Pada tahun ke-12 kebangkitan Rasul, berlakulah Perjanjian Aqabah Pertama antara nabi dengan 12 orang wakil dari Madinah. Dalam perjanjian itu wakil-wakil dari Madinah berjanji untuk mentauhidkan Allah serta meninggalkan perbuatan yang diharamkan terutamanya mencuri, berzina, membunuh anak-anak perempuan, berbohong dan melakukan khianat.
Ketika mereka kembali ke Madinah nabi telah mengutus sahabat baginda yang bernama Mus’ab bin Umair bersama-sama mereka bertujuan untuk memperluaskan dakwah dan mendidik masyarakat di Madinah tentang Islam. Strategi ini amat berkesan sekali kerana kesan dari usaha Mus’ab, tokoh-tokoh Arab yang penting di Madinah seperti Saad bin Muaz dan Usaid bin Hudair memeluk agama Islam.
Pengislaman mereka merangsang orang-orang lain memeluk Islam sehingga memungkinkan berlakunya Perjanjian Aqabah Kedua di Mekah pada tahun ke-13 hijrah. Perjanjian ini melibatkan 73 orang lelaki dan 2 orang wanita. Dalam perjanjian ini mereka berjanji untuk membela nabi sebagaimana mereka membela keluarga mereka sendiri hingga ke titisan darah yang terakhir.
Selepas perjanjian itu nabi melantik 12 orang dari kalangan mereka menjadi nuqabak atau penggerak utama dakwah di Madinah. Perjanjian ini menjadi titik tolak kepada hijrah dan penegakan negara Islam di Madinah kemudiannya.
Dalam konteks perancangan dan strategi, kisah ini merupakan satu kisah yang amat baik untuk dikaji dan dianalisis. Dalam proses untuk menegakkan negara Islam, baginda mementingkan lima aspek asas iaitu,
- Tempat yang strategik.
- Dakwah dan pendidikan yang berterusan.
- Pendukung dan pejuang yang komited.
- Penggunaan sumber tenaga manusia secara efektif.
- Persaudaraan Islam.
No comments:
Post a Comment