Monday, July 24, 2006

Ibadah Melahirkan Pengurus Masa Yang Baik

Amal ibadah di dalam Rukun Islam amat menekankan tentang masa. Latihan-latihan yang terdapat di dalamnya mampu mendidik umat menjadi pengurus masa yang baik. Sebagai contoh, solat fardu yang diwajibkan ke atas setiap mukalaf juga dikenali sebagai solat waktu, kerana ia terikat dengan waktu-waktu tertentu.

Mereka yang menjaga solat yang lima setiap hari perlu peka dengan waktu kerana solat yang dilakukan di luar waktu dengan sengaja dianggap sebagai tidak sah dan bakal mendatangkan dosa. Allah telah berfirman di dalam Al-Quran: “Maka datanglah selepas mereka pengganti (yang keji) yang mensia-siakan solat mereka serta mengikut hawa nafsu, maka kelak mereka akan menemui kesesatan..” (Surah Maryam ayat 59)


Berhubung dengan ayat ini, Abdullah ibn Abbas ra berkata: “Maksud ayat ‘mensia-siakan solat’ bukanlah meninggalkan solat sama sekali, tetapi melewatkannya dari waktunya”. Imam Said ibn Al-Musayyab mempunyai pendapat yang sama dengan Ibn Abbas ra. Beliau berkata: “Mereka melaksanakan solat zuhur di dalam waktu asar, solat asar di dalam waktu maghrib, solat maghrib di dalam waktu isyak, solat isyak ditangguhkan sehingga masuk waktu subuh dan solat subuh dilaksanakan selepas matahari terbit.
Sesiapa yang mati di dalam keadaan ini tanpa bertaubat, dia akan dihumban masuk ke dalam sebuah lembah yang bernama ghay di dalam neraka dan diberikan makanan yang teramat jijik..”

Puasa Ramadan juga melatih umat Islam menjadi pengurus masa yang baik kerana sebelum berpuasa, mereka wajib pastikan terlebih dahulu tanggal satu Ramadan, sama ada dengan menggunakan sistem rukyah ataupun hisab. Selepas itu, umat Islam wajib berpuasa bermula dari masuknya waktu subuh sehingga masuknya waktu maghrib setiap hari selama sebulan.

Jika seseorang Muslim berbuka puasa seminit lebih awal dari waktu maghrib, puasanya dianggap batal. Demikian juga, jika masuknya waktu subuh ialah pada jam 6.00 pagi, dan seseorang masih menjamah makanan secara sedar pada jam 6.01 pagi, puasanya juga dianggap batal. Seseorang muslim yang meninggalkan puasa Ramadan dengan sengaja dan ingin menggantikannya pada waktu yang lain, puasa gantiannya itu tidak lagi dipandang bernilai di sisi Allah. Semua ini melatih umat Islam menjadi golongan yang memandang penting ketepatan masa di dalam kehidupan mereka.

Ibadah zakat dan haji juga mempunyai latihan yang berkaitan dengan pengurusan masa. Sebagai contoh, zakat harta benda yang merangkumi binatang ternakan, tanam-tanaman, emas, perak serta barang perniagaan, wajib dikeluarkan apabila cukup nisab dan haulnya. Haul bermaksud genap setahun peredaran masa.

Justeru untuk mengeluarkan zakat, seseorang perlu prihatin dengan masa di samping sentiasa mengemaskinikan rekod perniagaan dan harta bendanya. Perlaksanaan ibadah haji juga tidak terlepas daripada latihan pengurusan masa kerana ibadah ini hanya sah dilakukan pada bulan dan masa yang tertentu. Imam Bukhari telah meriwayatkan, Abdullah ibn Omar ra berkata: “Bulan-bulan haji ialah Syawal, Zulkaedah dan Zulhijah”. Jika seseorang terlewat wuquf di Arafah (iaitu waktu di antara gelincir dan terbenam matahari pada 9 Zulhijah), hajinya dikira tidak sah.

Kesan dari perlaksanaan ibadah-ibadah ini, akan lahirlah umat yang produktif yang tidak akan membuangkan masa mereka di dalam perkara yang tidak berfaedah...

No comments: