Umat Islam hari ini perlu memanfaatkan kajian-kajian semasa untuk dikaitkan dengan konsep-konsep umum Islam. Kajian dan teori-teori yang baik walaupun datang dari orang-orang bukan Islam dianggap oleh Nabi Muhammad sebagai “hikmat yang hilang dari tangan orang-orang mukmin”. Justeru tidak wajar bagi umat islam membiarkan hikmat-hikmat ini hilang begitu saja.
Ilmu Islam terbahagi kepada dua iaitu ilmu fardu ain dan fardu kifayah. Ilmu fardu ain yang merangkumi ilmu tauhid, fikah dan tasawuf wajib dikuasai oleh semua Muslimin dan Muslimah. Ilmu fardu kifayah hanya wajib dikuasai oleh sebahagian umat Islam di sesuatu tempat.
Antara ilmu fardu kifayah yang wajib dikuasai pada hari ini ialah yang berkaitan dengan bidang ICT (teknologi maklumat dan komunikasi), sains, teknologi, ekonomi, perundangan, persenjataan, perubatan dan yang seumpamanya. Kita perlu lahirkan ramai pakar dalam bidang-bidang ini.
Kita sepatutnya mencontohi raja Zulkarnain yang menguasai teknologi pada zamannya. Dalam surah Al-Kahfi ayat 93-97 Allah berfirman yang bermaksud, “Hingga apabila dia sampai antara dua buah gunung dia mendapati di hadapan kedua bukit itu satu kaum yang hampir tidak mengerti pembicaraan. Mereka berkata, ‘Hai Zulkarnain sesungguhnya Yakjuj dan Makjuj sering melakukan kerosakan di muka bumi maka dapatkah kami berikan upah kepadamu supaya kamu membuat dinding yang memisahkan antara kami dan mereka?’ Zulkarnain berkata, ‘Apa yang dikuasakan Allah kepadaku adalah lebih baik maka tolonglah aku dengan kekuatan (manusia dan alat-alat) agar aku dapat membina sebuah dinding antara kamu dan mereka. Berilah aku potongan-potongan besi’.
Apabila besi itu sama rata dengan kedua puncak gunung berkatalah Zulkarnain, ‘Tiuplah api’. Apabila besi itu menjadi merah dia pun berkata, ‘Berikan aku tembaga yang mendidih agar aku tuangkan ke atas besi panas itu’. Maka mereka tidak dapat mendakinya dan tidak dapat melubanginya.”
Umat Islam perlu berusaha sedaya upaya mereka untuk menguasai ilmu sains dan teknologi demi masa depan Islam. As-Syeikh Hasan an-Nadwi dalam bukunya Kerugian Dunia Kerana Kemunduran Umat Islam menerangkan tentang punca-punca kejatuhan umat Islam. Antaranya, “Selama berabad-abad lamanya umat Islam membuangkan waktu dan tenaga berfikir dan berfalsafah berhubung sesuatu yang tidak ada manfaatnya. Jika umat Islam berminat untuk mengkaji ilmu-ilmu yang menguntungkan Islam dan kaum Muslimin pasti kedudukan mereka tidak akan menjadi separah itu. Umat Islam bukan saja asyik membahaskan sifat-sifat Allah, mereka juga asyik berbicara tentang roh, falsafah wihdatul wujud dan sebagainya yang memerlukan tenaga dan masa yang bukan sedikit…” Kecuaian umat Islam untuk menerokai dan menguasai ilmu-ilmu baru menjadi salah satu sebab umat Islam dikotak-katikkan pada hari ini.
Ilmu ialah kuasa dan umat Islam perlu memiliki kuasa ini. Dengan ledakan teknologi maklumat lenyaplah sempadan bagi ilmu. Berhubung dengan ini pengarang buku Empires of the Mind berkata, “Knowledge portability merupakan kalimat yang akan menjadi popular pada masa hadapan. Ia bermaksud ilmu akan berkembang tanpa dibatasi oleh sempadan geografi.
Komputer dan alat-alat telekomunikasi menyebabkan maklumat tersebar dengan cepat di mana-mana saja. Setiap individu perlu mengubahsuai dirinya untuk hidup dalam era yang serba pantas ini. Untuk berjaya kita perlu mengubah cara fikir serta perangai kita agar mentaliti dinosaur tidak menjangkiti kita.…Pada hari ini ilmu ialah kuasa!”
Di dalam proses untuk mempersiapkan diri, umat Islam diizinkan untuk menimba ilmu dan kemahiran dari golongan yang bukan Islam, tidak kira sama ada dari Timur atau Barat, selagi mana ianya tidak bercanggah dengan dasar-dasar Islam. Ibn Majah dan Tirmizi meriwayatkan sabda Nabi yang bermaksud, "Kalimah yang bijaksana (hikmat) adalah suatu barangan yang telah hilang dari orang yang bijaksana".
Di mana saja dia menemuinya, dialah yang lebih berhak untuk memilikinya." Contoh yang paling baik ialah Nabi Muhammad. Ketika berlaku perang Khandak, baginda memanfaatkan strategi perang orang-orang Parsi dengan mengorek parit yang besar. Strategi ini mendatangkan kesan yang positif ke atas umat Islam di dalam peperangan itu. Begitu juga dengan khalifah Omar Al-Khattab, di zaman pemerintahannya, beliau telah serapkan beberapa cara pentadbiran Parsi ke dalam pentadbirannya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment