Semasa mentafsirkan kalimat amanah dalam ayat 72 surah al-Ahzab iaitu,
"Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanah kepada langit, bumi dan gunung ganang tetapi mereka enggan memikulnya dan berasa berat dengannya, sebaliknya ia dipikul oleh insan. Sesungguhnya mereka amat zalim lagi jahil",
sahabat Abdullah bin Amr bin As berkata, "Amanah ialah alat Kelamin manusia. Apabila manusia mampu menjaga amanah ini Allah memelihara diri Dan keturunannya."
Antara lambang kejayaan seorang mukmin ialah mampu mengawal keinginan nafsu seksnya. Dalam surah al-Mukminun ayat 6 hingga 7, Allah berfirman:
yang bermaksud, "(Orang mukmin yang berjaya) ialah mereka yang memelihara kemaluan mereka melainkan kepada isteri-isteri dan hamba-hamba perempuan mereka dan yang demikian itu tidaklah dicela. Dan sesiapa yang mencari yang lain daripada ini, mereka adalah golongan yang melampaui batas."
Apabila hubungan seks dilakukan mengikut panduan serta landasan syariat, ganjaran pahala akan dikurniakan Allah. Dalam hadis yang dilaporkan oleh Imam Muslim, sahabat-sahabat nabi bertanya, "Ya Rasulullah, adakah jika salah seorang daripada kami memuaskan nafsu syahwatnya (secara halal) dia akan diganjari pahala?" Bersabda nabi, "Tidakkah jika kamu memuaskan nafsumu secara haram kamu akan berdosa? Justeru, jika kamu melakukannya secara Halal kamu akan memperoleh pahala."
Islam juga mengizinkan individu melakukan persetubuhan mengikut cara atau kedudukan yang digemarinya. Namun, memuaskan nafsu melalui saluran dubur atau anal sex adalah dilarang.
Dalam surah al-Baqarah ayat 223, Allah berfirman:
yang bermaksud, "Isterimu adalah kebun bagimu maka datangilah kebunmu dengan cara mana yang kamu mahu."
Perbuatan homoseksual atau hubungan sejenis juga adalah dilarang oleh agama. Nabi berkata, "Perkara yang paling aku takuti menimpa ke atasmu ialah perbuatan kaum Lut. Dilaknati mereka yang melakukan perbuatan seumpama kaum Lut." Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Ibn Majah, Tirmizi dan al-Hakim.
Amanah faraj tidak lagi dipandang mulia oleh masyarakat akhir zaman. Menurut Imam Bukhari dan Muslim, nabi berkata, "(Antara tanda-tanda kiamat ialah) perbuatan zina akan berleluasa."
Berita akhbar bertarikh 8 Jun 1996, menarik perhatian ramai orang di Malaysia. Ia menceritakan tentang seorang gadis remaja bohsia yang baru berumur 15 tahun yang dipercayai sedang menuntut di Pulau Pinang. Beliau memiliki wang simpanan berjumlah RM100,000 hasil daripada aktiviti bohsianya.
Perkara ini terbongkar apabila gadis itu ingin membeli Sebuah kereta mewah untuk dihadiahkan kepada teman lelakinya. Gejala negatif ini menjadi semakin teruk pada hari ini. Laporan Kajian Kesihatan Seksual dan Reproduktif Remaja di Malaysia 2003 oleh Kementerian Kesihatan menunjukkan, remaja terutama pelajar sekolah di negara ini begitu aktif melakukan kegiatan seksual termasuk hubungan seks luar nikah.
Semua ini menunjukkan amanah faraj sedang dipandang kecil dan remeh oleh remaja-remaja hari ini. Apabila gejala ini dibiarkan, dikhuatiri suatu hari nanti jerebu nilai yang menghancurkan akan menyerang masyarakat Malaysia secara amnya.
Seks pada hari ini telah bertukar menjadi satu industri yang besar. Aktiviti pelacuran adalah salah satu sumber kemasukan yang penting bagi kebanyakan negara termasuk di Asia Tenggara. Kesan daripada aktiviti yang mungkar ini, penyakit-penyakit jangkitan seksual termasuk AIDS merebak dengan cepat dan berjaya membunuh jutaan manusia.
Sempena dengan sambutan Hari Aids Sedunia pada 1 Disember 2003, statistik menunjukkan lebih kurang 42 juta lelaki, wanita dan kanak-kanak telah dijangkiti kuman HIV pada hari ini. Ia menyebabkan lima kematian berlaku setiap minit setiap hari.
Benarlah nabi ketika beliau berkata: "Wahai (sahabat) Muhajirin, lima bala akan ditimpakan ke atasmu dan aku berdoa supaya kamu tidak ada semasa bala ini
menimpa..... (satu antaranya ialah), apabila zina zahir dalam masyarakat secara terang-terangan, wabak yang dahsyat dan penyakit-penyakit yang belum pernah menjangkitimu akan menyerangmu pada masa itu." Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Ibn Majah, al-Baihaqi dan al-Bazzar.
Dalam riwayat lain oleh Imam al-Hakim, nabi berkata, "Apabila zina dan riba berleluasa dalam sesebuah negeri, mereka telah menghalalkan azab Allah ke atas diri mereka."
Kanak-kanak juga turut terheret ke dalam lembah industri seks ini. Di Asia, Jepun mempunyai rekod yang buruk berhubung dengan isu ini. The Washington Post bertarikh 11 Februari, 2000 melaporkan, 80% daripada bahan-bahan lucah yang melibatkan kanak-kanak datang dari Jepun. Kuasa besar, Amerika, pastinya tidak terkecuali daripada masalah ini. BBC News 10 September 2000 melaporkan, kajian yang dilakukan oleh Universiti Pennsylvania menunjukkan, terdapat lebih kurang 400,000 remaja di bawah umur di Amerika yang bekerja sebagai pelacur dan yang seumpamanya pada hari ini.
Thursday, September 14, 2006
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment