Thursday, September 14, 2006

Golongan Agama Dan Skandal Seks

Pada hari ini, skandal seks tidak hanya menyerang orang-orang biasa, sebaliknya ia juga menyerang golongan agama terutamanya di kalangan tokoh-tokoh Kristian. Di dalam majalah Time bertarikh 1 April 2002, antara tajuk yang difokuskan ialah Can The Church Be Saved? Di dalamnya dimuatkan kisah-kisah salah laku seks yang melibatkan paderi-paderi Katolik Roman dengan kanak-kanak lelaki serta remaja.

Laporan itu mengatakan, skandal ini mungkin melibatkan lebih kurang 2,000 orang paderi di seluruh Amerika. Skandal seumpama ini juga telah menyerang paderi-paderi Katolik Roman di England dan Wales berpandukan Nolan Report yang dikeluarkan pada tahun 2001. BBC News bertarikh 9 April 2002, melalui artikel yang bertajuk Catholic Church Shaken By Sex Scandals melaporkan, "Di Ireland, skandal ini melibatkan paderi-paderi kanan seperti Cardinal Desmond Connell."

Tokoh-tokoh Protestan juga tidak terlepas daripada skandal ini. Hal ini dijelaskan oleh Philip Jenkins di dalam bukunya Pedophiles and Priests yang diterbitkan pada tahun 1996. Mengikut artikel yang bertajuk Protestants See Sex Scandals, Too yang dimuatkan di dalam The Salt Lake Tribune bertarikh 5 April 2002, "Tokoh-tokoh Protestan sering mengambil kesempatan ke atas wanita dan remaja bermasalah yang meminta khidmat nasihat kaunseling daripada mereka."

Skandal seks yang melibatkan pihak gereja telah menjadi epidemik pada hari ini. Mengikut Cap Cod Times bertarikh 20 April 2002 melalui artikelnya yang bertajuk Church Sex Scandals Span Globe, "Skandal seks telah menyerang gereja-gereja di Kanada, Australia, Ireland, Britain, France, Germany, Mexico dan Poland. Secara purata, lebih kurang 3,000 orang telah menjadi mangsa paderi-paderi di seluruh dunia dan jumlah wang ganti rugi yang perlu dibayar kepada mangsa-mangsa berjumlah lebih kurang $110 juta dolar Amerika."

Malaysia juga tidak terkecuali daripada masalah seks bebas ini. Pada 1 November 1995, Menteri Kesihatan Malaysia melaporkan, mengikut kajian yang dibuat ke atas sekumpulan remaja berumur 16 hingga 18 tahun di Wilayah Persekutuan, didapati 50% daripada mereka pernah mengadakan hubungan seks, termasuk dengan cara melanggan pelacur-pelacur.

Maksiat dan kemungkaran akan menutup pintu rezeki manusia. Sebagai contoh, seks bebas yang telah menyemarakkan penyakit AIDS telah memiskinkan banyak negara di dunia hari ini. Mengikut African Newsletter 1996, wang yang terpaksa dibelanjakan bagi mengawal penyakit AIDS di seluruh dunia berjumlah $250 juta setiap hari sejak tahun 1981 hingga 1996. Ini bermakna, dalam masa setahun, wang yang dibelanjakan adalah $90 bilion dan pada hari ini Kosnya telah meningkat ke ratusan bilion. Negara-negara miskin di benua Afrika telah menjadi bertambah miskin ketika berdepan dengan masalah ini.

Dalam sebuah hadis yang dilaporkan oleh Imam Ahmad, Ibn Hibban dan al-Hakim, nabi berkata, "Wahai Muslimin, jauhilah zina kerana perlakuannya mendatangkan enam keburukan, tiga di dunia dan tiga di akhirat. Adapun tiga yang diperolehi di dunia ialah hilangnya seri wajah, memendekkan umur dan mendatangkan kefakiran. Tiga yang diperolehi di akhirat ialah kemurkaan Allah, hisab yang buruk dan azab neraka."

Justeru, amanah faraj amat ditekankan oleh Islam dan Islam mengutuk segala bentuk perzinaan. Segala perkara yang membawa kepada zina dianggap buruk dan diharamkan oleh Islam. Dalam surah al-Israk ayat 32, Allah berfirman:

yang bermaksud, "Dan janganlah kamu dekati zina. Sesungguhnya zina ialah satu perbuatan yang keji dan jalan yang buruk."

Jenayah seks seperti kes-kes rogol yang melibatkan kanak-kanak juga sedang menjadi semakin teruk pada hari ini. Mingguan Malaysia bertarikh 25 Januari 2004 melaporkan, Afrika Selatan mencatatkan kes rogol tertinggi di dunia iaitu pada kadar 58 kanak-kanak sehari dan setiap 26 saat bagi wanita dewasa.

Tidak dapat dibayangkan betapa sadis dan dahsyatnya dunia hari ini apabila enam orang lelaki yang berumur antara 24 hingga 66 tahun sanggup merogol bayi perempuan yang baru berumur sembilan bulan secara berkumpulan. Kejadian ini berlaku di Cape Town, Afrika Selatan dua tahun dahulu.

Pada bulan Januari tahun 2004, Malaysia dikejutkan dengan dua kes rogol dan bunuh ke atas dua orang pelajar iaitu adik Nurul Huda yang baru berumur 10 tahun dan adik Harerawati yang berumur 9 tahun.

Pada pertengahan tahun 1996, Polis Johor telah membuat analisis yang agak menarik berkaitan dengan kes-kes rogol di negeri itu. Laporan yang dibuat oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Johor, Senior Asisten Komisioner 11, Ali Hanafiah Hashim, menunjukkan sebanyak 38 kes rogol telah berlaku di seluruh negeri Johor dalam tempoh tiga bulan pertama tahun 1996. 26 atau 81% daripadanya berlaku ke atas golongan yang mengamalkan pergaulan bebas. 70% daripadanya tidak menerima pendidikan agama dan 93% tidak mengetahui bahawa melakukan zina adalah salah. Beliau merumuskan, punca berlakunya rogol adalah pergaulan bebas, tiada kawalan keluarga serta kurang didikan agama.

No comments: