Monday, January 22, 2007

Otak Menang Strategis Agong, Khalid Al-Walid

Sebagai panglima perang, Khalid sering kali memberikan ucapan semangat kepada tentera-tentera Islam di samping menyampaikan perutusan kepada panglima-panglima musuh. Antara isi-isi ucapan dan perutusan beliau seperti yang disebutkan dalam Sejarah Daulat Khulafaur Rasyidin oleh Joesoef Sou’yb ialah:


“Aku datang dengan satu kaum yang cintakan mati sebagaimana kamu cintakan hidup.”(Perutusan kepada panglima Parsi, Hormuz, sebelum berlakunya Perang Zatul Salasil)

“Tanamkanlah rasa ikhlas di hatimu agar jihadmu pada hari ini dilakukan kerana Allah. Hadapkanlah hati-hatimu kepada Allah ketika kamu beramal pada hari ini. Tidak sepatutnya kita sombong dan melampaui batas pada hari ini. Ingatlah, apa yang berlaku pada hari ini akan menentukan sejarah hari esok.

Jika kamu terpaksa bertindak dengan satu tindakan yang belum lagi dikeluarkan arahan tentangnya, bertindaklah dengan cara yang kamu yakin akan dipersetujui oleh pimpinanmu.” (Ucapan kepada tentera-tentera Islam di Yarmuk)

“Aku berjuang bukan kerana Omar tetapi kerana Allah.” (Kenyataan ini dibuat selepas khalifah Omar melucutkan beliau dari jawatan panglima besar)

“Alangkah besarnya jumlah tentera Islam dan kecilnya jumlah tentera Rom kerana besarnya sesuatu pasukan ditentukan oleh kemenangan dan kecilnya oleh kekalahan.” (Kenyataan ini dibuat selepas melihat tentera Rom berjumlah enam kali ganda lebih ramai dari tentera-tentera Islam di Yarmuk)

Apabila kita amati stail perjuangan panglima Khalid, kita akan dapati di samping iman, takwa, berwawasan dan berstrategi yang dimiliki beliau, cara fikir dan sikap beliau dalam banyak hal menjadi penentu kepada kemenangan umat Islam. Antara cara fikir dan sikap itu ialah:


  • Kemenangan bermula dalam minda sendiri.
  • Kemenangan tidak terletak pada jumlah, tetapi pada keyakinan dan sikap.
  • Belum cuba belum kalah.
  • Berundur untuk menang adalah lebih baik dari membuta tuli kemudiannya kalah.
  • Kita yang perlu mengukir sejarah. Biarkan orang lain bercakap tentang sejarah itu.
  • Kesempatan jangan dinanti, tetapi dicipta.
  • Satu kemenangan hanyalah satu pintu untuk kemenangan-kemenangan yang lain.
  • Jika kita tidak menang, orang lain yang akan menang. Lebih baiklah kita yang menang.
  • Kemenangan adalah hasil. Yang perlu diutamakan ialah proses untuk mencapai hasil.

Friday, January 19, 2007

Sains Buktikan Sembelihan Cara Islam Terbaik


Barat termasuk aktivis hak asasi haiwan menganggap perbuatan menyembelih haiwan yang dilakukan umat Islam mempamerkan sikap tidak berperikemanusiaan kerana banyak darah tertumpah ke bumi terutama ketika amalan korban pada Aidiladha.

Malah, ketika kempen keganasan sibuk dilancarkan oleh Barat, mereka menggunakan alasan amalan korban ini sebagai satu daripada hujah mereka bagi membuktikan betapa Islam mengajar umatnya menjadi ganas.

Di Barat, undang-undang mereka memperuntukkan supaya haiwan dikenakan kejutan elektrik di kepala sebelum dibunuh, kononnya bagi memastikan haiwan itu pengsan terlebih dulu sebelum ia dibunuh.

Selain itu, kononnya tindakan mereka itu bertujuan untuk menghalang binatang berasa sakit sebelum ia mati.


Tetapi sekali lagi apakah pandangan Barat ini benar?

Pendirian Islam mengenai apa yang boleh dimakan dan apa yang diharamkan adalah jelas terutama membabitkan daging.


Dalam Surah al-Maidah ayat 5, Allah menyatakan:

Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan mati dipukul, dan mati jatuh, dan mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih, dan yang disembelih atas nama berhala. (Tafsir al-Rahman, Jakim).

Selain itu, Islam juga mengharamkan memakan daging haiwan tanpa disembelih seperti mencucuk leher, menghempap dengan batu atau cara selain daripada sembelihan.

Islam mengajar supaya sembelihan dilakukan dengan pisau tajam bagi memotong bahagian leher untuk memutuskan dua urat utama atau urat mareh. Kaedah ini dikaji pakar Jerman.

Pakar itu, Profesor Wilhelm Schulze dan rakannya, Dr Hazim di Sekolah Perubatan Veterinar, Universiti Hannover, Jerman, mencari kaedah terbaik proses mematikan haiwan bagi mendapatkan daging yang bersih dan segar.

Kajian itu bertajuk, `Cubaan untuk mengesan kesakitan dan rasa sedar mengikut kaedah konvensional dan agama ketika menyembelih lembu atau kambing, menyimpulkan kaedah Islam terbaik kerana lebih berperikemanusiaan.

Mereka menyimpulkan bahawa amalan mengenakan kejutan elektrik ke atas haiwan sebelum dibunuh seperti yang diamalkan oleh Barat, mendatangkan kesakitan yang amat sangat pada haiwan.

Dalam kajian itu, beberapa alat pengesan dipasang di pelbagai tempat pada otak haiwan. Alat itu dimasukkan menerusi pembedahan khas dan haiwan terbabit dibiarkan untuk pulih selama beberapa minggu.

Beberapa ekor haiwan itu disembelih mengikut kaedah Islam menggunakan tindakan pantas, memotong urat leher dengan pisau tajam. Beberapa ekor haiwan lain dibunuh mengikut kaedah barat menggunakan Pistol Kejutan (CBP).

Ketika ujian dijalankan, rekod electroencephalograph (EEG) dan electrocardiogram (ECG) dicatatkan bagi mengetahui keadaan otak dan jantung semua haiwan terbabit ketika proses penyembelihan dan kaedah CBP.

Hasil ujian mendapati menurut kaedah Islam, tiga saat pertama ketika disembelih, EEG tidak mencatatkan sebarang perubahan pada graf sama seperti sebelum penyembelihan.

Keadaan itu membayangkan bahawa haiwan itu tidak berasa sebarang kesakitan ketika atau sebaik saja pisau memotong urat leher terbabit.

Untuk tiga saat kedua, EEG mencatatkan keadaan tidur lena atau tidak sedar diri. Ini disebabkan banyak darah mengalir keluar dari badan.

Selepas enam saat, EEG mencatatkan paras sifar, menunjukkan haiwan itu tidak merasai sebarang kesakitan.

Ketika mesej otak (EEG) jatuh ke paras sifar, jantung masih mengepam dan badan haiwan masih dapat bergerak akibat tindak balas daripada saraf tunjang, menyebabkan semua darah keluar dari badan haiwan menghasilkan daging yang selamat untuk dimakan, menurut penyelidikan itu.

Bagaimanapun, ketika mengkaji kaedah CBP, haiwan dikesan terus pengsan sebaik saja menerima tembakan CBP dan EEG menunjukkan bacaan amat sakit pada haiwan itu.

Jantung haiwan itu berhenti berdenyut lebih awal selepas terkena kejutan berbanding haiwan yang disembelih. Keadaan itu menyebabkan banyak darah masih terkumpul dalam daging dan ia sebenarnya tidak selamat untuk dimakan.

Kajian terbaru juga menunjukkan kaedah mematikan haiwan yang digunakan oleh Barat dan bukan Islam, turut dikatakan menjadi punca kepada penularan wabak penyakit lembu gila daripada haiwan kepada manusia.

Kaitan ini didedahkan menerusi kajian yang dijalankan oleh Universiti Texas A&M dan Agensi Pemeriksaan Makanan Kanada. Ia menyatakan, kaedah kejutan pneumatik (iaitu menembak bola besi ke otak lembu diikuti dengan mengenakan tekanan udara tinggi) menyebabkan kerosakan tisu otak serta saraf tunjang haiwan itu.

Laporan ini amat menggemparkan kerana tisu otak dan saraf tunjang adalah bahagian yang paling terjejas teruk kerana dijangkiti penyakit lembu gila dan apabila ia hancur akibat kaedah berkenaan, bakteria serta protein penyakit lembu gila akan merebak ke daging.

Malah, lebih menggemparkan, kaedah ini digunakan ke atas 30 hingga 40 peratus lembu yang dimatikan untuk diambil dagingnya di Amerika Syarikat.

Malah, kajian lain yang dijalankan di seluruh dunia juga mendapati daging menjadi lebih lembut berbanding daging yang tidak disembelih menurut Islam seperti ujian yang dijalankan ke atas ayam sembelih dan tidak sembelih.

Kajian terbabit jelas membuktikan bahawa penyembelihan menurut kaedah Islam adalah cara yang terbaik bukan saja untuk kebaikan haiwan itu sendiri tetapi juga memberi manfaat kesihatan kepada manusia.

Selain itu, Islam mengenakan beberapa langkah lain bagi memastikan penyembelihan ini dapat disempurnakan dengan lebih baik.

Dalam aspek ini, Nabi Muhammad SAW pernah mengarahkan supaya sentiasa belas kasihan terhadap haiwan dengan memastikan pisau yang digunakan benar-benar tajam bagi mengurangkan rasa sakit.

Islam menjelaskan, proses menyembelih perlu dilakukan dengan pantas bagi memutuskan salur darah ke saraf otak kerana saraf ini yang menghantar mesej kesakitan kepada otak.

Dengan itu, haiwan tidak akan berasa sakit ketika disembelih. Pergerakan dan kekejangan yang berlaku selepas haiwan itu disembelih, bukan akibat kesakitan tetapi akibat denyutan diikuti keadaan tenang.

Proses itu menyebabkan darah dikeluarkan dari badan sepenuhnya, kata Dr Aisha El-Awady, yang menulis dalam Islamonline pada 2003.


Selain itu, Sunnah Nabi Muhammad SAW juga menegaskan, adalah tidak wajar seseorang penyembelih, menajamkan pisaunya di depan haiwan yang akan disembelih atau menyembelih seekor haiwan itu di depan haiwan lain.

Menjelaskan lagi proses penyembelihan Islam, Dr Aisha menyatakan, kaedah Islam juga memastikan saluran udara, kerongkong dan dua urat leher dipotong tanpa menjejaskan saraf tunjang.

Kaedah ini membolehkan darah keluar membuak-buak dari badan haiwan dan menghasilkan daging yang bersih.

Jika saraf tunjang terputus, fiber saraf ke jantung akan rosak menyebabkan jantung terhenti dan darah akan terkumpul di dalam daging. Darah perlu dikeluarkan sepenuhnya sebelum kepala dicerahkan. Keadaan ini akan membersihkan daging itu kerana darah bertindak sebagai perantara kepada mikro organisma, kata Aisha dalam kajiannya.

Dengan bukti ini, seharusnya aktivis hak asasi Barat berkempen supaya menggunakan kaedah Islam ketika proses penyembelihan serta mensasarkan kecaman mereka terhadap kaedah selain daripada Islam yang terbukti kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Tuesday, January 16, 2007

Menerokai Islam

IMAN IALAH NYAWA

Untuk berjaya setiap insan wajib beramal dengan syariat Islam secara sempurna berasaskan al-Quran dan Sunnah. Walau bagaimanapun amalan seseorang dianggap mati tanpa iman. Iman berkait rapat dengan kepercayaan dan keyakinan dan ia merupakan nyawa dan nadi yang menentukan sama ada sesuatu amalan diterima ataupun ditolak oleh Allah. Ia adalah syarat kepada sahnya amal di sisi Allah.

Dalam surah az-Zumar ayat 65 Allah berfirman, 'Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu (Muhammad) dan kepada nabi-nabi sebelummu, 'Jika kamu menyekutukan Allah akan gugurlah segala amalanmu dan kamu akan termasuk dalam golongan orang-orang yang rugi'.

Oleh kerana iman merupakan nyawa kepada segala amalan dan tindak tanduk manusia, ia perlu dibajai dengan ramuan yang betul agar kesesatan tidak menyelubunginya. Antara baja yang perlu diberikan kepadanya (seperti yang disarankan al-Quran) ialah baja ilmu serta kefahaman melalui penguasaan dua ayat.


MENGUASAI DUA AYAT

Baja ilmu melalui penguasaan dua ayat bermaksud menguasai, pertamanya, ayat-ayat al-Quran dan, keduanya, ayat-ayat Allah yang tersembunyi di alam semesta. Ayat dalam bahasa Arab mempunyai dua maksud, seperti yang disebutkan dalam Hans Wehr: A Dictionary Of Modern Written Arabic. Pertama, ia bermaksud “verses of the Quran” atau ayat-ayat Quran, dan kedua, ia bermaksud 'sign' atau tanda dan bukti.

Penguasaan ayat-ayat al-Quran adalah penting untuk mencapai kecemerlangan di dunia dan akhirat. Melalui al-Quran manusia mengenali tujuan hidup dan cara hidup. Allah berfirman dalam surah an-Nahl ayat 89, 'Dan Kami telah menurunkan kepadamu sebuah Kitab yang menjelaskan tentang setiap perkara (di samping itu) ia merupakan petunjuk serta rahmat dan berita gembira bagi mereka yang Muslim'.

Menguasai al-Quran bermula dengan mempertingkatkan kemampuan seseorang agar dia mampu membaca al-Quran dengan baik. Berhubung dengan ini Allah berfirman dalam surah al-Ankabut ayat 45, 'Bacalah apa yang telah diwahyukan kepadamu daripada al-Kitab (al-Quran)..'

Dalam surah Fatir ayat 29-30 pula Allah berfirman, 'Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca Kitab Allah dan mendirikan solat serta mendermakan sebahagian daripada apa yang Kami kurniakan secara bersembunyi atau terang-terangan, mereka mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian. Supaya (dengan itu) Allah menyempurnakan pahala mereka dan menambahkan kepada mereka kurniaannya. Allah Maha Pengampun lagi sentiasa membalas sebaik-baiknya'.

Kemampuan membaca al-Quran dengan baik ini perlu disusuli dengan usaha untuk memahaminya secara yang betul. Inilah yang diperintahkan Allah dalam surah an-Nisak ayat 82 yang bermaksud, 'Apakah mereka tidak tadabur Al-Quran? Sekiranya al-Quran itu bukan dari sisi Allah tentulah mereka akan mendapati percanggahan yang banyak di dalamnya'.

Berhubung dengan ayat ini, Imam Ibn Kathir di dalam Tafsir al-Quran al-Azim berkata, 'Allah mengarahkan mereka agar mengamati isi-isi al-Quran dan melarang mereka dari berpaling daripadanya. Allah juga mengarah mereka agar memahami maksud ayat-ayat al-Quran yang begitu halus lafaznya serta dipenuhi kebijaksanaan'.

Kefahaman yang betul pula perlu disusuli dengan penghayatan yang mantap. Hal ini Allah sebutkan dalam surah al-Baqarah ayat 121 yang bermaksud, 'Dan mereka yang telah Kami berikan Kitab kemudian mereka membacanya dengan bacaan yang sebenarnya, mereka itulah yang beriman dengannya. Barang siapa yang ingkar terhadapnya mereka itulah orang-orang yang rugi'.

Berhubung dengan kalimat 'membaca Kitab dengan bacaan yang sebenarnya' yang terdapat dalam ayat ini, sahabat Abdullah ibn Masud berkata, 'Demi Allah, maksud membaca Kitab dengan bacaan yang sebenarnya ialah menghalalkan apa yang dihalalkannya, mengharamkan apa yang diharamkannya, membaca seperti mana ia diturunkan Allah, tidak mengubah kalam Tuhan dari tempatnya dan tidak mentakwilkan ayat-ayatnya secara yang tidak betul'. Hal ini disebutkan dalam al-Asas fit Tafsir oleh as-Syeikh Said Hawa.

Hanya selepas al-Quran difahami dan dihayati sahaja iman umat Islam akan meningkat sekali gus mencapai kecemerlangan. Inilah yang dijanjikan Allah dalam surah al-Israk ayat 9 yang bermaksud, 'Sesungguhnya al-Quran ini memberi petunjuk kepada jalan yang aqwam dan memberi khabar gembira kepada orang-orang mukmin yang mengerjakan amal salih bahawa bagi mereka ada pahala yang besar'.

Ayat ini menjelaskan bahawa al-Quran ialah petunjuk yang akan membawa manusia kepada sesuatu yang aqwam. Apakah maksud aqwam? Dalam al-Jamik li Ahkamil Quran, Imam Qartubi berkata, 'Kalimat aqwam bermaksud jalan yang paling benar, paling adil dan paling tepat'. Justeru mereka yang membaca, memahami, menghayati serta menjadikan al-Quran sebagai sumber rujukan, kesejahteraan dan kecemerlangan sedang menanti mereka kerana kehidupan mereka disuluhi oleh formula yang “paling benar, paling adil dan paling tepat'.


Justeru penguasaan al-Quran dan kecemerlangan tidak boleh dipisahkan.. .........

Tuesday, January 02, 2007

Kita Berada Di Era 'Dajal'


Dajal merupakan makhluk yang akan mendatangkan malapetaka yang dahsyat di akhir zaman. Berhubung dengan ini Nabi bersabda, 'Antara kejadian Adam dan kejadian hari kiamat, tidak ada kejadian yang lebih dahsyat daripada Dajal.' (Muslim)

Kalimat Dajal berasal dari kalimat dajala yang bermaksud 'yang menutup'. Mengikut kamus Lisanul Arab, kalimat ini digunakan kerana Dajal adalah pendusta yang menutup kebenaran dengan kebatilan. Dia juga menutupi dunia dengan kesesatan bersama-sama dengan pengikutnya. Di samping itu Dajal akan mendatangkan huru-hara dan pancaroba yang dahsyat di muka bumi dan Nabi telah menceritakan tentang semua ini melalui hadis-hadis baginda.

Sistem Perisikan Di Era Dajal

Di dalam sebuah riwayat oleh Fatimah binti Qais, pada suatu hari, selepas melaksanakan solat jemaah, nabi telah menaiki mimbar khutbah dan bersabda, 'Sahabatmu Tamim Ad-Dari yang dahulunya menganut agama Kristian dan sekarang menganut Islam, menceritakan kepadaku tentang Dajal. Beliau bersama-sama dengan tiga puluh orang rakan-rakannya telah belayar di laut dan kapal mereka telah hanyut selama lebih kurang sebulan sebelum terbabas di sebuah pulau. Di pulau itu mereka menemui makhluk yang amat hodoh, badannya dipenuhi bulu. Mereka bertanya kepada makhluk itu, 'Siapa kamu?' Makhluk itu menjawab: 'Aku adalah pengintip atau spy (ana Jassasah).' Kemudian makhluk hodoh ini menyuruh mereka pergi bertemu satu makhluk lain yang berbadan besar dan makhluk ini sedang dirantai dengan rantai yang kukuh. Dia mengatakan bahawa dia adalah Dajal.....' (Riwayat Muslim)

Hadis ini mengaitkan era Dajal dengan kewujudan sistem perisikan moden yang hodoh lagi menghancurkan. Di antara jentera perisikan yang banyak memporak-perandakan dunia pada hari ini ialah CIA, Mossad dan KGB. Mengikut satu laporan yang bertajuk The Intelligence Community In The 21st Century, yang dibentangkan pada tahun 1996 oleh sebuah jawatankuasa khas di Amerika yang dikenali sebagai The Permanent Select Committee on Intelligence, Agensi Perisikan Amerika (CIA) sering kali diarahkan untuk melanggar undang-undang sama ada di dalam atau di luar negara. Jawatankuasa ini mendapati CIA telah bertindak di luar batas undang-undang sebanyak 100,000 kali setahun dan mereka sanggup membunuh demi untuk mencapai matlamat mereka.

Mengikut Rodney Stich di dalam bukunya Defrauding America: Encyclopedia of Secret Operations by the CIA, DEA and Other Covert Agencies, pihak CIA telah membunuh Presiden Vietnam Selatan, Ngo Dinh Diem. Pihak CIA juga didapati terlibat dalam rancangan untuk menaikkan pemimpin-pemimpin boneka di negara-negara tertentu dan kemudian jika perlu membunuh mereka selepas itu.

Demikian juga dengan agensi perisikan Israel, Mossad. Pada 10 September 2001, akhbar The Washington Times memuatkan satu laporan khas berhubung agensi perisikan ini, berdasarkan kajian yang telah dilakukan oleh Army School for Advanced Military Studies (SAMS) di Amerika. Kajian ini merumuskan, Mossad ialah sebuah agensi yang 'liar, kejam serta pintar. Ia mampu menyerang sasaran-sasaran tertentu di Amerika dan menampakkan seolah-olahnya ia adalah perbuatan orang-orang Palestin atau Arab.'

Anehnya sehari selepas laporan ini diterbitkan, berlakulah tragedi 11 September, 2001, di New York. Pada tahun 1990, seorang bekas pegawai Mossad, Victor Ostrovsky bersama-sama dengan Claire Hoy, menulis sebuah buku bertajuk By Way of Deception terbitan St Martin's Press, New York. Buku ini menceritakan tentang aktiviti jahat Mossad termasuk perancangannya untuk memburukkan nama Libya dan Saddam Hussein.

Rusia juga mempunyai agensi perisikannya yang dikenali sebagai KGB dan GRU. KGB yang bermaksud Komitet Gosudarstvennoy Bezopasnosti memfokuskan aktivitinya kepada golongan awam dan GRU yang bermaksud Glavnoye Razvedyvatelnoye Upravleniye terlibat di dalam perisikan ketenteraan.

Teknologi Di Era Dajal

Mengikut hadis-hadis nabi, era Dajal ialah suatu era yang kaya dengan teknologi canggih. Antara teknologi itu berkaitan dengan kemampuan untuk mengubah cuaca, seperti menurunkan hujan. Berhubung dengan ini nabi bersabda, 'Dajal akan mengarahkan langit dan langit akan menurunkan hujan dan dia akan mengarahkan bumi dan bumi akan mengeluarkan tumbuh-tumbuhan'. (Riwayat Muslim dan Tarmuzi)

Teknologi yang wujud pada hari ini mampu 'mencipta hujan'. Teknologi ini mula diperkenalkan pada tahun 1946 dan menjadi semakin popular pada hari ini, terutamanya ketika menghadapi musim kemarau. Daily Telegraph, London, bertarikh 20 Ogos, 1969, melaporkan, kristal silver iodine telah digunakan di padang pasir untuk menurunkan hujan. Kristal yang sama juga pernah digunakan untuk meredakan kekuatan ribut taufan, seperti yang telah dilakukan ke atas taufan Hurricane Debris dan Hurricane Esther.

Mengikut kajian terkini, pendekatan yang digunakan untuk menurunkan hujan ialah melalui ‘pembenihan awan’ atau cloud seeding. Antara konsep yang popular digunakan pada hari ini untuk menurunkan hujan ialah 'pembenihan statik' (static mode of cloud seeding) dengan menggunakan bahan seperti garam dan urea, serta ‘pembenihan higroskopik’ (hygroscopic seeding) dengan menggunakan ais dan silver iodine.

Teknologi juga mampu mengubah tanah yang tidak subur menjadi subur lagi produktif. Hal ini tercapai, antaranya, melalui sistem pengairan yang canggih, penciptaan pelbagai jenis baja dan pengubahan bahan mineral dan organik yang terdapat di dalam tanah. Di Amerika, sebagai contoh, pada tahun 1902, melalui Bureau of Reclamation, banyak kawasan tanah yang tidak subur telah berjaya disuburkan melalui pendekatan ini.

Berhubung dengan sistem pengangkutan di era Dajal, Nabi bersabda, '(Kelajuan perjalanan Dajal) ialah seperti awan yang dipukul angin..'(Riwayat Muslim dan Tarmuzi)

Dalam riwayat yang lain, baginda bersabda, 'Dajal akan mengenderai keldai. Jarak di antara kedua telinganya ialah tujuh puluh ela.' (Riwayat Baihaqi) Nabi juga bersabda, 'Dajal akan melompat di antara langit dan bumi.' (Riwayat Abu Daud)

Sistem pengangkutan yang wujud pada hari ini, dengan kapal terbang dan jetnya, menepati sabda Nabi yang terdapat dalam hadis-hadis ini. Kelajuan kapal terbang dan jet adalah 'seperti awan yang dipukul angin.' Jarak antara kedua belah sayapnya berukuran lebih kurang 'tujuh puluh ela.' Kapal terbang dan jet 'melompat di antara langit dan bumi.' Jet-jet pejuang Amerika dan sekutu-sekutunya di Barat telah mendatangkan malapetaka yang dahsyat kepada Iraq, Afghanistan dan negara-negara lain. Teknologi dalam bidang ini dikuasai oleh Barat.

Jet-jet pejuang yang dicipta untuk tujuan berperang menjadi semakin canggih pada hari ini. Antara tahun 1930 – 1940, antara jenis pesawat yang digunakan untuk berperang ialah BF-109 Messerschmitt, Hawker Hurricane, A6M Zero, Fokker G.I, JU87 Stuka, Fokker D21. Antara tahun 1940 – 1950, Supermarine Spitfire, P47 Thunderbolt, P51 Mustang, Mosquito, F4U Corsair, P38J Lightning, F86 Sabre, P40 WarHawk, FW190 Focke Wulf, Messerschmitt ME262, F6F Hellcat, P80 Shooting Star, B25 Mitchell, F8F Bearcat, Mig15 Fagot, A1 Skyraider, Macchi M.C.205 Veltro, Gloster Meteor F Mk.8, B-17 Flying Fortress, de Havilland Vampire digunakan. Antara tahun 1950 - 1960 MiG21 Fishbed, F104 Starfighter, F8 Crusader, B52G Stratofortress, CF-105 Avro Arrow, F106 Delta Dart, F-84F Thunderstreak, MiG17 Fresco, F105 ThunderChief, F100 Super Sabre, J32 Lansen, F101 VooDoo, B58 Hustler, MiG-19 Farmer, J29 Tunnan, Super Mystere B2, Hawker Hunter digunakan. Bermula tahun 2000, jet-jet pejuang dari jenis F/A-22 Raptor, LCA, EuroFighter 2000 Typhoon, SU47 (S37 Berkut), SU37 Terminator, MiG/MAPO 1.42 MFI, Aurora, FA-18E Super Hornet, X35 Joint Strike Fighter (JSF F-35) dan Chengdu J-10 pula digunakan.

Di era Dajal nilai-nilai kerohanian tidak lagi dipandang penting. Justeru teknologi canggih yang wujud di era itu seringkali di salahgunakan. Nabi bersabda, 'Apabila Dajal datang, mata kanannya adalah buta dan mata kirinya akan bersinar seperti bintang.” (Riwayat Bukhari dan Ahmad)

Memandangkan Nabi sering mengaitkan bahagian kanan dengan kebaikan, keadaan mata Dajal yang buta di sebelah kanan menunjukkan dia tidak mementingkan aspek kerohanian sama sekali. Segala tindakannya adalah untuk kepentingan duniawi semata-mata.

Berpandukan hadis-hadis yang telah dipaparkan, tanpa kita sedari, kita sebenarnya sedang berada di era Dajal. Justeru, umat Islam pada hari ini perlu memahami ajaran Islam yang sebenarnya berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah.

Ajaran itu hendaklah dihayati dan 'digigit dengan gusi-gusi kita.'Jika tidak, kita akan hanyut seperti buih di atas permukaan air.