Tuesday, January 16, 2007

Menerokai Islam

IMAN IALAH NYAWA

Untuk berjaya setiap insan wajib beramal dengan syariat Islam secara sempurna berasaskan al-Quran dan Sunnah. Walau bagaimanapun amalan seseorang dianggap mati tanpa iman. Iman berkait rapat dengan kepercayaan dan keyakinan dan ia merupakan nyawa dan nadi yang menentukan sama ada sesuatu amalan diterima ataupun ditolak oleh Allah. Ia adalah syarat kepada sahnya amal di sisi Allah.

Dalam surah az-Zumar ayat 65 Allah berfirman, 'Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu (Muhammad) dan kepada nabi-nabi sebelummu, 'Jika kamu menyekutukan Allah akan gugurlah segala amalanmu dan kamu akan termasuk dalam golongan orang-orang yang rugi'.

Oleh kerana iman merupakan nyawa kepada segala amalan dan tindak tanduk manusia, ia perlu dibajai dengan ramuan yang betul agar kesesatan tidak menyelubunginya. Antara baja yang perlu diberikan kepadanya (seperti yang disarankan al-Quran) ialah baja ilmu serta kefahaman melalui penguasaan dua ayat.


MENGUASAI DUA AYAT

Baja ilmu melalui penguasaan dua ayat bermaksud menguasai, pertamanya, ayat-ayat al-Quran dan, keduanya, ayat-ayat Allah yang tersembunyi di alam semesta. Ayat dalam bahasa Arab mempunyai dua maksud, seperti yang disebutkan dalam Hans Wehr: A Dictionary Of Modern Written Arabic. Pertama, ia bermaksud “verses of the Quran” atau ayat-ayat Quran, dan kedua, ia bermaksud 'sign' atau tanda dan bukti.

Penguasaan ayat-ayat al-Quran adalah penting untuk mencapai kecemerlangan di dunia dan akhirat. Melalui al-Quran manusia mengenali tujuan hidup dan cara hidup. Allah berfirman dalam surah an-Nahl ayat 89, 'Dan Kami telah menurunkan kepadamu sebuah Kitab yang menjelaskan tentang setiap perkara (di samping itu) ia merupakan petunjuk serta rahmat dan berita gembira bagi mereka yang Muslim'.

Menguasai al-Quran bermula dengan mempertingkatkan kemampuan seseorang agar dia mampu membaca al-Quran dengan baik. Berhubung dengan ini Allah berfirman dalam surah al-Ankabut ayat 45, 'Bacalah apa yang telah diwahyukan kepadamu daripada al-Kitab (al-Quran)..'

Dalam surah Fatir ayat 29-30 pula Allah berfirman, 'Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca Kitab Allah dan mendirikan solat serta mendermakan sebahagian daripada apa yang Kami kurniakan secara bersembunyi atau terang-terangan, mereka mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian. Supaya (dengan itu) Allah menyempurnakan pahala mereka dan menambahkan kepada mereka kurniaannya. Allah Maha Pengampun lagi sentiasa membalas sebaik-baiknya'.

Kemampuan membaca al-Quran dengan baik ini perlu disusuli dengan usaha untuk memahaminya secara yang betul. Inilah yang diperintahkan Allah dalam surah an-Nisak ayat 82 yang bermaksud, 'Apakah mereka tidak tadabur Al-Quran? Sekiranya al-Quran itu bukan dari sisi Allah tentulah mereka akan mendapati percanggahan yang banyak di dalamnya'.

Berhubung dengan ayat ini, Imam Ibn Kathir di dalam Tafsir al-Quran al-Azim berkata, 'Allah mengarahkan mereka agar mengamati isi-isi al-Quran dan melarang mereka dari berpaling daripadanya. Allah juga mengarah mereka agar memahami maksud ayat-ayat al-Quran yang begitu halus lafaznya serta dipenuhi kebijaksanaan'.

Kefahaman yang betul pula perlu disusuli dengan penghayatan yang mantap. Hal ini Allah sebutkan dalam surah al-Baqarah ayat 121 yang bermaksud, 'Dan mereka yang telah Kami berikan Kitab kemudian mereka membacanya dengan bacaan yang sebenarnya, mereka itulah yang beriman dengannya. Barang siapa yang ingkar terhadapnya mereka itulah orang-orang yang rugi'.

Berhubung dengan kalimat 'membaca Kitab dengan bacaan yang sebenarnya' yang terdapat dalam ayat ini, sahabat Abdullah ibn Masud berkata, 'Demi Allah, maksud membaca Kitab dengan bacaan yang sebenarnya ialah menghalalkan apa yang dihalalkannya, mengharamkan apa yang diharamkannya, membaca seperti mana ia diturunkan Allah, tidak mengubah kalam Tuhan dari tempatnya dan tidak mentakwilkan ayat-ayatnya secara yang tidak betul'. Hal ini disebutkan dalam al-Asas fit Tafsir oleh as-Syeikh Said Hawa.

Hanya selepas al-Quran difahami dan dihayati sahaja iman umat Islam akan meningkat sekali gus mencapai kecemerlangan. Inilah yang dijanjikan Allah dalam surah al-Israk ayat 9 yang bermaksud, 'Sesungguhnya al-Quran ini memberi petunjuk kepada jalan yang aqwam dan memberi khabar gembira kepada orang-orang mukmin yang mengerjakan amal salih bahawa bagi mereka ada pahala yang besar'.

Ayat ini menjelaskan bahawa al-Quran ialah petunjuk yang akan membawa manusia kepada sesuatu yang aqwam. Apakah maksud aqwam? Dalam al-Jamik li Ahkamil Quran, Imam Qartubi berkata, 'Kalimat aqwam bermaksud jalan yang paling benar, paling adil dan paling tepat'. Justeru mereka yang membaca, memahami, menghayati serta menjadikan al-Quran sebagai sumber rujukan, kesejahteraan dan kecemerlangan sedang menanti mereka kerana kehidupan mereka disuluhi oleh formula yang “paling benar, paling adil dan paling tepat'.


Justeru penguasaan al-Quran dan kecemerlangan tidak boleh dipisahkan.. .........

No comments: