Zulqarnain bermaksud dia yang mempunyai dua tanduk. Az-Zajjaj dan Al-Azhari berpendapat, beliau diberikan gelaran Zulqarnain kerana beliau menjelajahi dan menguasai negara-negara di Barat dan Timur.
Dalam surah Al-Kahfi ayat 84 Allah berfirman, “Sesungguhnya Kami telah memberi kekuasaan kepada (Zulqarnain) di muka bumi ini dan Kami memberikan kepadanya jalan (untuk mencapai) segala sesuatu.” Ada yang berpendapat Zulqarnain ialah Alexander the Great dari Macedonia. Namun pandangan ini ditolak oleh ramai tokoh Islam kerana Alexander the Great tidak beriman kepada Allah.
Maulana Abul Kalam Azad, seorang ulama dan politikus Islam yang terkenal di India pada tahun 1950-an, pernah mengutarakan pandangannya berhubung peribadi Zulqarnain di dalam majalah Thaqafatul Hind. Beliau berpendapat Zulqarnain ialah Cyrus The Great, seorang Raja yang menguasai wilayah Medes (Media) dan Parsi dan akhirnya mengasaskan Empayar Parsi yang berdaulat.
As-Syeikh Hasan An-Nadwi juga telah menukilkan pandangan ini dalam tulisan beliau berhubung Zulqarnain. Hal ini disebutkan dalam Al-Asas fit Tafsir oleh Said Hawa. Walau bagaimanapun, apa yang diutarakan ini hanyalah merupakan pandangan-pandangan dari ulama dan Allah lebih mengetahui tentang identiti Zulqarnain yang sebenarnya.
Keunggulan dan kehebatan Zulqarnain mempunyai sebab musababnya. Antara sebab musabab itu, seperti yang dinyatakan dalam surah Al-Kahfi ialah:
- JELAS DESTINASI (HIDUP BERWAWASAN): Wawasan Zulqarnain ialah untuk mengagungkan kebenaran dan keadilan sebagaimana yang ditetapkan Allah. Beliau tidak terpedaya dengan pangkat dan kekuasaan kerana kesemua itu bukannya matlamat baginya sebaliknya adalah alat untuk menegakkan wawasan. Dalam surah Al-Kahfi ayat 87-88 Allah berfirman, “Berkata Zulqarnain, ‘Adapun mereka yang zalim, maka kami akan menyeksanya (yakni menghukumnya dengan tegas), kemudian dia akan dikembalikan kepada Tuhannya dan Tuhan akan mengazabnya dengan azab yang dahsyat. Adapun mereka yang beriman dan beramal salih maka baginya pahala yang terbaik sebagai balasan dan kami akan titahkan kepadanya perintah yang mudah dari perintah-perintah kami’.” Pernyataan ini menunjukkan antara wawasan Zulqarnain ialah menghapuskan kemungkaran dan menegakkan yang makruf di wilayah yang ditaklukinya.
- FIKIR GLOBAL (MEMPUNYAI MISI): Memandangkan kebenaran dan keadilan adalah ramuan yang diperlukan oleh dunia justeru, ia perlu dilonjakkan ke tahap global. Dengan misi yang jelas untuk mengusai dunia demi untuk menegakkan kebenaran dan keadilan, Zulqarnain akhirnya berjaya mencapai cita-citanya dengan pertolongan Allah. Allah berfirman dalam surah Al-Kahfi ayat 84, “Sesungguhnya Kami telah memberi kekuasaan kepada (Zulqarnain) di muka bumi dan Kami telah memberikan kepadanya jalan (untuk mencapai) segala sesuatu.” Sebenarnya dunia hanya mampu menguasai mereka yang berjiwa kecil, sebaliknya dunia akan bertukar menjadi hamba kepada mereka yang berjiwa besar.
- MEMILIKI KOMPAS HIDUP (BERTAKWA): Kompas bermanfaat kerana ia membantu kita dalam perjalanan agar hala tuju kita tidak terbabas. Tanpa kompas seseorang akan mudah tersesat dalam perjalanan. Demikianlah juga dengan takwa. Ia merupakan kompas di hati yang akan memastikan seseorang itu sentiasa berjalan mengikut panduan syariat di mana saja dia berada. Inilah kekuatan yang ada pada Zulqarnain. Walaupun beliau menguasai timur dan barat, namun timur dan barat tidak menguasai beliau. Yang mengusai beliau ialah petunjuk Allah yang berada di hatinya. Justeru, apabila sekumpulan manusia datang untuk memberi upah kepada Zulqarnain dengan syarat beliau membuat sesuatu yang dapat menghalang gerakan Yakjuj dan Makjuj, beliau berkata, “Sesungguhnya apa yang dikurniakan Allah kepadaku adalah lebih baik (dari pemberianmu).” Dan selepas Zulqarnain berjaya membina sebuah tembuk yang besar, beliau berkata, “Inilah rahmat yang dikurniakan oleh Tuhanku.” Kalimat-kalimat ini adalah dari surah Al-Kahfi ayat 95 dan 98. Ia menunjukkan betapa tingginya nilai takwa yang terdapat di hati Zulqarnain.
- SENTIASA MENCARI DAN MEMBUKA PELUANG (BERMINDA STRATEGIK): Zulqarnain tidak menguasai dunia secara semberono sebaliknya berdasarkan perancangan yang rapi. Ketika menceritakan tentang Zulqarnain, kalimat yang diulang-ulangi sebanyak tiga kali dalam surah Al-Kahfi ialah yang bermaksud, “(Zulqarnain) telah mengikuti satu jalan atau menggunakan pendekatan tertentu...” Berhubung dengan ini Said Hawa dalam Al-Asas fit Tafsir telah berkata, “Orang-orang Islam dituntut untuk menegakkan Islam dengan menggunakan hukum sebab musabab dan tidak mengharapkan kejadian yang luar biasa untuk mencapai kejayaan. Kisah yang terdapat dalam surah ini menunjukkan Zulqarnain menggunakan pendekatan sebab musabab yang pelbagai untuk mencapai matlamat dan aspek ini telah diabaikan oleh umat Islam pada hari ini...” Mereka yang berjaya ialah mereka yang sentiasa meyakini bahawa jika dia terus berusaha di hujung sana pasti ada cahaya. Mereka yang berjaya juga tidak duduk menanti peluang, mereka mencipta peluang.
- MENGUASAI ILMU BESI DAN TEMBAGA (MENGUASAI TEKNOLOGI): Ilmu dan teknologi adalah penting untuk berjaya dalam hidup. Tanpa kedua-duanya banyak masalah tidak dapat diselesaikan dengan baik. Ketika Zulqarnain diminta oleh sekumpulan manusia untuk menghalang gerakan Yakjuj dan Makjuj, dalam surah Al-Kahfi ayat 96-97, beliau berkata, “Berilah aku potongan-potongan besi’. Hingga apabila besi itu telah sama rata dengan kedua puncak gunung itu, berkatalah Zulqarnain, ‘Tiuplah (api itu).’ Apabila besi itu menjadi (merah seperti) api, dia pun berkata, ‘Berikan aku tembaga yang mendidih agar aku tuangkannya ke atas besi panas itu’. Maka mereka tidak mampu mendakinya dan mereka juga tidak mampu untuk melubanginya.” Teknologi yang digunakan oleh raja Zulqarnain untuk membina tembuk begitu hebat sekali sehingga dengannya gerakan Yakjuj dan Makjuj dapat dibendung. Inilah kekuatan yang ada pada Zulqarnain. Teknologi, seperti Tembok Zulqarnain, hanya bermanfaat jika ia menjadi sistem sokongan yang menghalang kemungkaran. Sebaliknya jika ia menjadi alat yang menghalang kebenaran dan keadilan, seperti Tembok Pemisah Israel, ia sepatutnya diruntuhkan.
- MENDENGAR DAN MEMAHAMI (BERKOMUNIKASI SECARA EFEKTIF): Ketika menjelajahi dunia, Zulqarnain dapat menentukan tindakan yang tepat di setiap kawasan kerana beliau sudi mendengar dan dapat memahami pendapat dan pandangan yang disampaikan kepadanya. Dalam surah Al-Kahfi ayat 93-94 Allah berfirman, “Hingga apabila dia sampai di antara dua buah gunung dia mendapati di hadapan kedua bukit itu satu kaum yang hampir tidak dapat difahami perkataannya. Mereka berkata, ‘Wahai Zulqarnain sesungguhnya Yakjuj dan Makjuj melakukan kerosakan di muka bumi’.” Ayat ini menunjukkan kemahiran berkomunikasi yang dimiliki oleh Zulqarnain amat tinggi sekali sehingga dapat memahami percakapan golongan yang hidup terpencil dari masyarakat lain.
Jelas sekali, kemampuan Zulqarnain untuk menjelajahi timur dan barat, berkomunikasi, membina tembuk yang kukuh, mengenderai kuda dengan baik dan sentiasa mencari pendekatan baru untuk mencapai matlamat menunjukkan beliau menguasai pelbagai kemahiran (multi-skilling). Justeru bukanlah suatu yang pelik jika beliau dapat menguasai dan memerintah dunia dengan begitu cemerlang sekali.
No comments:
Post a Comment