Friday, August 25, 2006

Cemerlang Dengan Menguasai Hikmat

Dalam surah Al-Baqarah ayat 269 Allah berfirman, “Allah menganugerahkan hikmat kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Sesiapa yang dianugerahinya hikmat dia benar-benar telah dianugerahi kurniaan yang banyak. Dan hanya orang-orang yang berakal sahaja yang dapat mengambil pengajaran.”

Sahabat Abdullah ibn Abbas mentafsirkan hikmat sebagai Al-Quran. Imam Mujahid mentafsirkannya sebagai ilmu, kefahaman serta Al-Quran. Imam Abu Malik berpendapat hikmat ialah As-Sunah. Mengikut satu lagi pendapat dari Imam Mujahid, beliau mengatakan hikmat bermaksud percakapan yang benar. Kesemua pendapat ini disebutkan dalam Al-Asas fit Tafsir oleh Said Hawa.

Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan, nabi bersabda, “Tidak ada hasad melainkan dalam dua perkara iaitu, (terhadap) seorang lelaki yang dikurniakan Allah dengan harta benda dan dia menggunakannya mengikut kebenaran. Dan (terhadap) seorang lelaki yang dikurniakan hikmat lantas dia bertindak dan mengajar berdasarkannya.” Berhubung dengan hadis ini, As-Syeikh Said hawa berkata dalam Al-Asas fit Tafsir, “Hadis ini menunjukkan maksud hikmat ialah kefahaman tentang kitab Al-Quran dan As-Sunah serta kefahaman tentang agama.”

Salah satu kelebihan yang ada pada Luqman Al-Hakim ialah beliau dikurniakan Allah dengan hikmat. Dalam surah Luqman ayat 12 Allah berfirman, “Sesungguhnya Kami telah kurniakan hikmat kepada Luqman iaitu, ‘Bersyukurlah kepada Allah. Barang siapa yang bersyukur dia bersyukur untuk dirinya sendiri. Barang siapa yang kufur maka sesungguhnya Allah Maha kaya lagi Maha Terpuji’.” Imam Ibn Kathir mentafsirkan hikmat di dalam ayat ini sebagai kefahaman, ilmu dan tadbir (iaitu pengurusan yang baik).

Justeru, mereka yang dikurniakan hikmat ialah mereka yang menguasai Al-Quran dan As-Sunah, dan dengan itu mereka mempunyai kefahaman yang mendalam tentang Islam. Dengan kekuatan yang dimiliki ini mereka menjadi golongan yang bijaksana yang mampu mentadbir hidup mereka dengan baik dan menjadi contoh misali di dalam masyarakat. Merekalah golongan yang akan berjaya di dunia dan akhirat..

No comments: